Pengguna media sosial perlu lebih beretika
Pengguna media sosial perlu lebih beretika
BENTONG – Kerajaan Negeri Pahang menggesa semua pihak lebih beretika dalam penggunaan media sosial bagi memastikan keharmonian negara dapat dikekalkan.
Exco Hal Ehwal FELDA, Koperasi dan Usahawan Negeri Pahang, Datuk Amizar Abu Adam berkata ia adalah antara perkara dititik beratkan oleh Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
“Saya mewakili Menteri Besar dan beliau menitipkan beberapa perkara antaranya penggunaan media sosial yang dititik beratkan oleh Datuk Seri Wan Rosdy.
“Penggunaan ini (media sosial) hendaklah dikawal dan tidak boleh menjejaskan keharmonian dan juga perpaduan di antara kaum di negeri dan negara ini.
“Kita harus ambil perhatian mengenai penggunaan media sosial yang tidak terkawal, tanpa sempadan sehingga menyebarkan kebencian, persepsi serta sentimen yang boleh memecahbelahkan perpaduan yang telah kita bina selama ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan Dan Kibar Jalur Gemilang 2024 Peringkat Negeri Pahang di Dataran Bentong.
Turut hadir, Penasihat Undang-undang Pahang, Datuk Seri Saiful Edris Zainuddin; Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Pahang, Datuk Ir Razali Kassim dan Exco Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Pahang, Leong Yu Man.
Amizar turut menyeru pengguna media sosial untuk menyemak semula kesahihan sebarang berita diterima sebelum membuat sebarang hantaran bagi mengelakkan kes buli siber berlaku.
“Kita tidak mahu kes buli siber terjadi seperti sebelum ini dan ini adalah antara mesej yang dititipkan oleh Menteri Besar.
“Dan bahawasanya kemerdekaan perlulah kita ertikan dalam diri anak muda.
“Kemerdekaan bukan sahaja bebas dari segalanya dan selamanya tetapi juga kita bebas dari pengaruh negatif yang berlaku pada hari ini,” katanya. – sahih