PENGGIAT, PENGUSAHA PELANCONGAN TAMAN NEGARA TIDAK SABAR TERIMA VAKSIN
PENGGIAT, PENGUSAHA PELANCONGAN TAMAN NEGARA TIDAK SABAR TERIMA VAKSIN
MEREKA BERTERIMA KASIH KEPADA KERAJAAN NEGERI MENYEGERAKAN PROGRAM IMUNISASI COVID-19 KEBANGSAAN (PICKS)
JERANTUT : Penggiat dan pengusaha pelancongan Taman Negara bersyukur dan berterima kasih kepada kerajaan negeri di bawah kepimpinan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail yang cukup bersimpati dengan kebajikan pemain sektor pelancongan di sini sekali gus menyegerakan pemulihan menerusi program vaksinasi.
Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICKS), suntikan vaksinasi di taman peranginan hutan tropika tertua itu, antara pusat pelancongan yang kedua selepas Pulau Tioman yang melibatkan sejumlah ramai penggiat dan pengusaha ekopelancongan di situ.
Pekerja hospitaliti, Sabri Abdullah berkata, program vaksinasi pertama itu antara program pemulihan bagi sektor ekopelancongan Taman Negara setelah melalui tempoh yang cukup tenat sejak Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan pada Mac 2020 dan kemudian bersambung sehingga sekarang.
“Aktiviti pelancongan terencat di sini seolah ‘mati’ bagi tanggapan sesetengah penggiat di situ akibat penularan wabak Covid-19 sejak tahun lalu.
“Penggiat dan pengusaha ekopelancongan Taman Negara Kuala Tahan bersyukur serta teruja apabila menerima suntikan vaksin dos pertama sambil menyifatkan persediaan awal sebelum taman peranginan itu menerima kedatangan pengunjung tidak lama lagi,” katanya.
Program Outreach Vaksinasi Sektor Pelancongan juga turut disertai sebilangan warga emas dan barisan hadapan (frontliners) seramai 300 orang sepanjang dua hari di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Xcape Resort, Kuala Tahan.
Katanya, program itu akan bersambung semula pada hari Isnin hingga Khamis ini bagi mencukupi kouta yang berdaftar seramai 1,260 orang.
Sabri berkata, diharap sektor ekopelancongan kembali bernafas semula apabila kerajaan dalam perancangan membenarkan penduduk yang sudah menerima suntikan dua dos agar dibenarkan merentas daerah dan negeri dalam masa terdekat ini.
Seorang pengusaha Rumah Inap Greenland, Afzal Abdul Aziz berkata, program vaksinasi antara inisiatif kerajaan negeri dan kementerian berkenaan menjadikan Taman Negara Kuala Tahan sebagai destinasi bebas Covid-19 dalam tempoh fasa pemulihan ini.
“Ramai pelancong dari negara Eropah, Scandinavia dan Asia masih berhubung dengan saya menerusi talian Whatsapp, email dan Facebook bertanyakan program pemulihan wabak Covid-19 di negeri ini dan mereka berhasrat untuk kembali semula ke taman ini.
“Walaupun begitu. rakyat di negara ini perlu bekerjasama dengan mematuhi penguatkuasaan PKP dan peraturan keselamatan tertentu supaya rantaian wabak ini dapat diputuskan segera sekali gus sektor pelancongan pulih sedia kala dan boleh diaktifkan,” katanya.
Sementara itu, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Pahang, Datuk Nazri Ngah ketika melawat PPV di Xcape Resort, Kuala Tahan semalam kagum dengan warga emas, penggiat dan pengusaha pelancongan di situ tidak sabar untuk menerima suntikan vaksin.
“Kerajaan negeri berterima kasih dengan kesungguhan frontliners, petugas Jabatan Jabatan Kesihatan, pihak berkuasa beruniform dan semua agensi kerajaan yang komited membantu pelaksanaan program vaksinasi berjalan dengan lancar dan sempurna.
“Harapan kita menerusi program ini serta kerjasama pematuhan penguatkuasaan PKP serta memohon pertolongan Allah SWT yakin sektor pelancongan negeri ini kembali pulih serta dimanfaatkan bagi penduduk supaya memperolehi sumber pendapatan semula,” katanya.-SAHIH.