PENGGIAT PELANCONGAN PERLU PROFESIONAL
40 ORANG IKUTI KURSUS ASAS PENGGIAT EKO-PELANCONGAN.
KUALA TAHAN: Seramai 40 orang peserta mengikuti Kursus Asas Pengiat Eko-Pelancongan bagi memantapkan cara pengurusan dan persediaan aktiviti pelancongan agar lebih tersusun dan terancang, di samping boleh merancakkan lagi bilangan kehadiran pelancong luar dan dalam negara di masa hadapan.
Peserta kursus datang dari FELDA Padang Piol, Kampung (Kg) Labu, Perkampungan Orang Asli Suku Bateq Kg Dedari, Kg Sungai Rengat dan Kg Kuala Sat yang berlangsung selama dua hari di Kuala Tahan.
Ahli Parlimen Jerantut, Datuk Ahmad Nazlan Idris berkata, kursus asas ini amat diperlukan bagi membentuk pengetahuan penggiat pelancongan untuk lebih memahami tugas dan tanggungjawab dalam mengurus dan meningkatkan aktiviti pelancongan di kawasan masing-masing.
“Jerantut kaya dengan bukit yang sering didaki oleh pengunjung, sungai yang menjadi aktiviti air yang mencabar, aktiviti hutan yang memang dicari oleh pelancong khususnya pelancong luar negara, lebih-lebih lagi dari Eropah.
“Kita sebagai penyedia produk pelancongan perlu memainkan peranan terbaik untuk menarik lebih ramai pelancong dengan imej pengurusan yang lebih profesional dan menggunakan khazanah alam semulajadi yang tersedia,” katanya di Majlis Penutupan Rasmi kursus tersebut, semalam.
Katanya, selain itu penggiat pelancongan harus mengikuti kursus asas bahasa antarabangsa yang ringkas dan mudah untuk menawan hati pelancong luar negara.
Pengerusi Persatuan Pencinta Burung Taman Negara, Ruslan Abu Kassim berkata kursus asas yang dijalankan mendapat kerjasama Kolej Komuniti, Pelancongan Pahang, Pejabat Ahli Parlimen Jerantut, Pejabat DUN Tahan serta penggiat dari kampung di sekitar Jerantut.
“Peserta dari kampung yang dijemput mempunyai produk pelancongan tersendiri yang boleh dipromosikan ke tahap yang lebih baik dengan persediaan pengurusan pelancongan serta boleh menjana pendapatan dari sektor perniagaan tempatan termasuk inap desa,”katanya.
Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Kemakmuran Kampung (JKKK) Kuala Tahan, Abdul Jalil Abdul Rahman berkata produk dan aktiviti pelancongan berasaskan komuniti (CBT) perlu terus diperkukuh dan dibangunkan bagi mempelbagaikan produk pelancongan di daerah Jerantut.
“Industri CBT ini akan berkembang pada masa hadapan dan mampu menarik pelancong seluruh dunia untuk datang ke negeri ini, malah pelancong pada masa ini turut mahu mengunjungi kawasan luar bandar untuk mempelajari budaya, makanan serta seni kraftangan masyarakat tempatan,”katanya.
Peserta dari Perkampungan Dedari Suku Kaum Bateq, Jalut A/L Arbi gembira dapat mengikuti kursus asas itu bagi meningkatkan lagi pengetahuan dalam pengurusan pelancongan selain membangunkan komunitinya berganding bahu untuk mempelbagaikan aktiviti pelancongan di kampungnya.
“Saya gembira mengikuti kursus dan akan berkongsi pengetahuan bersama penduduk kampung serta merancang aktiviti pelancongan tambahan yang boleh dijadikan produk baharu,”katanya.
Turut hadir, Pegawai Daerah Jerantut, Khairun Nissa Aris dan Penghulu Mukim Hulu Cheka, Khairul Akhma Yusof.