Penggerak Madani sokong titah Sultan, serbu Felda cari idea pembangunan
Penggerak Madani sokong titah Sultan, serbu Felda cari idea pembangunan
MARAN – Penggerak Madani Negeri Pahang menyatakan komitmen penuh menyokong titah Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah agar isu pembangunan dan kesejahteraan masyarakat Felda diberi perhatian serius.
Pengerusinya, Mohamed Hafez Harun, berkata sebagai menjayakan seruan itu, pihaknya merancang program khas melibatkan serbuan ke beberapa kawasan Felda terpilih bersama lebih 200 peserta bagi mendapatkan maklumat serta merangka strategi pembangunan.
“Titah Tuanku jelas menekankan keperluan membela warga Felda. Justeru kita turun padang, duduk bersama peneroka, kumpul data dan faham masalah mereka. Apabila ada gambaran sebenar, agensi daerah serta pihak berkaitan boleh digerakkan dengan lebih efektif,” katanya.

Beliau menjelaskan program itu dijadualkan bermula Disember ini atau selewat-lewatnya awal tahun depan sebelum diteruskan selama dua tahun.
Katanya, langkah itu menjadi pemangkin kerja berpasukan sekali gus memastikan pembangunan Felda terus seiring aspirasi negeri.
“Penggerak Madani mahu menyahut titah Tuanku dengan tindakan nyata. Kita mahu Felda kembali menjadi nadi ekonomi dan sosial negeri Pahang,” ujarnya.-SAHIH