PENGGERA KEBAKARAN, PEKERJA LARI KELUAR KILANG
PENGGERA KEBAKARAN, PEKERJA LARI KELUAR KILANG
MANAKALA WARGANET FIKIR PEKERJA LARI DARIPADA SERBUAN
SHAH ALAM: Pekerja sebuah kilang di Seksyen 22, di sini dikatakan melarikan diri daripada serbuan adalah tidak benar, sebaliknya situasi berkenaan berlaku disebabkan pekerja terbabit panik akibat bunyi siren sebagai amaran berlaku kebakaran, semalam.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, ACP Baharudin Mat Taib berkata, kejadian disahkan berlaku antara jam 4.30 hingga 5.00 petang itu bukan kerana operasi atau serbuan daripada pihak penguatkuasa sebaliknya loceng amaran kebakaran yang dibunyikan.
“Siasatan awal mendapati berlaku kegagalan fungsi penggera kebakaran, dan difahamkan pihak syarikat dalam proses pemeriksaan sistem pendawaian, menyebabkan bunyi alat itu berbunyi menyebabkan ramai pekerja jadi panik dan lari keluar takut ada kejadian kebakaran.
“Kilang ini difahamkan baru sahaja beroperasi dan mengambil-alih daripada sebuah syarikat, memandangkan syarikat ini masih baru sebulan, ramai pekerja dan pengurusan belum di dedahkan dengan ‘fire drills’ ke tempat berhimpun penyelamatan,” katanya menerusi kenyataan pada Selasa.
Pada Selasa, tular di media sosial video memaparkan sekumpulan pekerja kilang memanjat pagar sebuah kilang. Warganet yang kebetulan melalui di situ memikirkan berlaku serbuan terhadap pekerja asing ke kilang tersebut menyebabkan pekerja kilang itu cuba melarikan diri.-SAHIH.