PENGERUSI PRO-KEADILAN SARAWAK MENGAKU TIDAK SALAH HINA AGONG
PENGERUSI PRO-KEADILAN SARAWAK MENGAKU TIDAK SALAH HINA AGONG
KUALA LUMPUR – Pengerusi Pro-Keadilan Sarawak, Iswardy Morni mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan mengeluarkan kata-kata berbaur hasutan bagi menghina Yang di-Pertuan Agong dalam laman sosial Facebook Sabtu lalu.
Iswardy, 44, membuat pengakuan tidak bersalah itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Mahyon Talib.
Mengikut pertuduhan, Iswardy didakwa telah mengeluarkan kenyataan melalui Facebook Iswardy Morni Official dengan menyebut kata-kata menghasut yang mempunyai kecenderungan bagi mendatangkan penghinaan terhadap Yang di-Pertuan Agong.
Kesalahan itu didakwa dilakukan Pejabat Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman di sini pukul 3 petang pada 29 Mei lalu.
Berikutan itu pendakwaan dikemukakan di bawah Seksyen 4 (1) (a) Akta Hasutan 1948 (Akta 15) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama yang memperuntukkan denda maksimum RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Yusaini Amer Abdul Karim, menawarkan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin terhadap tertuduh, lapor KOSMO online.
Bagaimanapun, peguam Nik Mohamed Ikhwan Nik Mahamud yang mewakili tertuduh memohon jaminan rendah dengan alasan perlu tertuduh menanggung keluarga selain sudah memberikan kerjasama yang baik kepada pihak polis.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin, berserta syarat tambahan, tertuduh dilarang mengeluarkan atau membuat sebarang ulasan terhadap kes ini.
Mahkamah kemudian menetapkan 2 Ogos ini untuk sebutan semula kes.
Kosmo! Online 30 Mei lalu melaporkan Iswardy ditahan bagi membantu siasatan berhubung video berbaur hasutan dan menghina Yang di-Pertuan Agong.
Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Dev Kumar berkata, lelaki berusia dalam lingkungan 40-an itu ditahan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman dan suspek ditahan di kediamannya di Kajang pada pukul 11 malam bagi membantu siasatan.
Terdahulu, satu video secara ‘live’ berkenaan Total Lockdown: Apa Yang Kerajaan Gagal Belajar Dalam Setahun ini yang menghina Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah tular dalam media sosial.