Pengedar Felda tumpas, ganja berkilo dan pil yaba dirampas
Pengedar Felda tumpas, ganja berkilo dan pil yaba dirampas
BERA – Kegiatan dua lelaki yang dipercayai aktif mengedar dadah di daerah ini terbongkar selepas polis merampas hampir 1.8 kilogram ganja serta ratusan pil yaba dan erimin 5 dalam dua serbuan berasingan di Felda Purun dan Kampung Bohor Baru.
Ketua Polis Daerah Bera, Superintendan Zulkiflee Nazir berkata, serbuan pertama di sebuah rumah di Felda Purun membawa kepada tangkapan lelaki berusia 48 tahun yang bekerja sebagai tukang wiring.
“Pemeriksaan menemukan satu ketulan mampat ganja dibalut selotep hitam seberat 659.14 gram. Ujian saringan awal air kencing mendapati suspek positif THC,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, serbuan kedua di Kampung Bohor Baru pula menahan lelaki berusia 42 tahun yang bekerja kampung.
“Pemeriksaan ke atas beg plastik bercorak bunga raya yang dipegang suspek menemukan ketulan mampat ganja seberat 1,057.64 gram.
“Pemeriksaan lanjut ke atas beg pinggang suspek menemukan 536 biji pil yaba (57.58 gram), heroin 23.22 gram, 70 pil erimin 5 (19.59 gram), ganja 18.66 gram serta syabu 4 gram,” katanya.
Beliau berkata, suspek kedua turut didapati positif methamphetamine.
Zulkiflee berkata, pihaknya turut menyita sebuah kenderaan bernilai RM30,000 di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988.

Ketulan mampat ganja dan peralatan yang dipercayai digunakan untuk menagih, dirampas dalam serbuan di Felda Purun, Bera. – FOTO IHSAN PDRM
“Semakan mendapati kedua-dua suspek mempunyai rekod lampau jenayah narkotik. Mereka direman tujuh hari sehingga 2 Disember 2025,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup serta tidak kurang 12 sebatan, manakala kes positif dadah disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) akta sama.
“PDRM komited memerangi dadah yang menjadi musuh nombor satu negara. Orang ramai boleh menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti dadah melalui hotline JSJN di talian 012-2087222,” katanya.-SAHIH
