PENGAWAL KESELAMATAN TOP GLOVE MATI
DILAPORKAN MATI KERANA JANGKITAN COVID-19
KLANG: Seorang pengawal keselamatan warga Nepal di kilang Top Glove di Meru, Klang dipercayai meninggal dunia akibat COVID-19 pada Sabtu lalu.
Portal The Vibes melaporkan bahawa Yam Narayan Chaudhary dimasukkan ke hospital pada 21 November dan menjalani rawatan selama kira-kira tiga minggu sebelum meninggal dunia.
Yam dipercayai telah bekerja sebagai pengawal keselamatan selama dua tahun menerusi sebuah syarikat keselamatan.
Laporan itu sehari selepas Reuters melaporkan Top Glove didakwa memecat seorang pekerja asing setelah dia dikatakan mendedahkan keadaan tempat tinggal pekerja.
Pada Mei lalu, Yubaraj Khadka dilaporkan mengambil dua gambar berkenaan pekerja yang bersesak di sebuah kilang syarikat pengeluar sarung tangan getah terbesar dunia itu.
Gambar itu menunjukkan ramai pekerja beratur dengan jarak kurang semeter antara satu sama lain untuk membuat pemeriksaan suhu sebelum memulakan syif malam.
Para pekerja diwajibkan memakai sarung tangan dan pelitup muka, bagaimanapun Yubaraj dan lima lagi pekerja memberitahu Reuters yang penjarakan fizikal tidak dikuatkuasakan mahupun dipatuhi di luar kilang.
Bimbang dipecat jika membuat aduan secara terus kepada pengurusan, lelaki berusia 27 tahun itu menghantar gambar kepada pertubuhan hak pekerja di Nepal yang kemudiannya menghantarnya kepada syarikat dan kerajaan Malaysia, tanpa mendedahkan individu yang mengambilnya.
Bagaimanapun, pada 23 September, Yubaraj menerima surat khidmatnya ditamatkan kerana menyebarkan gambar itu.
Dalam surat itu, yang dilihat Reuters, Top Glove berkata pihaknya berjaya mengesannya sebagai individu yang menjadi punca kepada gambar itu melalui rakaman CCTV.
Kluster Teratai di Klang, Selangor yang melibatkan pekerja Top Glove setakat ini merupakan kluster terbesar di Malaysia dengan 5,450 kes.