PENGAWAL KESELAMATAN TNB MAUT KEMALANGAN
PENGAWAL KESELAMATAN TNB MAUT KEMALANGAN
GERIK: Pengawal Keselamatan Tenaga Nasional Berhad (TNB) maut dalam kemalangan di Jalan Raya Timur Barat Fasa ll, Gerik – Kupang berhadapan hentian Rehat dan Rawat (R&R) Bintang Hijau, kira-kira jam 6.10 pagi tadi.
Mohamad Amirul Ahmad, 21, yang tinggal di Kampung Permatang Gelok, Alor Setar, Kedah meninggal dunia di tempat kejadian apabila motosikal yang ditungganginya berlanggar dengan treler yang keluar dari kawasan R&R berkenaan.
Ketua Polis Daerah Gerik, Superitendan Zulkifli Mahmood, berkata pihaknya menerima panggilan jam 6.20 pagi dan siasatan awal mendapati kemalangan membabitkan motorsikal ditunggangi mangsa berseorangan dan treler yang dipandu, Mohd Saufi Yaakub, 54, dari Kampung Kandis Telong, Bachok, Kelantan.
Katanya, kejadian berlaku ketika treler tanpa muatan itu yang keluar dari R&R berkenaan dan membelok ke kanan, dan pada masa sama motosikal ditunggangi mangsa tiba dari arah Gerik ke Baling.
“Motosikal ditunggangi mangsa gagal mengelak dan melanggar bahagian tengah treler.
“Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian dan hasil bedah siasat mendapati kematian disebabkan kecederaan di bahagian kepala. Pemandu lori tidak cedera,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor BH ONLINE.
Sementara itu. Komander Operasi, Kamarul Ariffin Abdul Ghani dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gerik, berkata mangsa tersepit dan tidak sedarkan diri, dipercayai sudah meninggal dunia.
“Anggota mengeluarkan mangsa tanpa menggunakan peralatan khas,” katanya.
Kamarul Ariffin berkata, mangsa kemudiannya diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut dan operasi tamat jam 8.05 pagi.