PENGARAH SYARIKAT MAUT KERETA TERBABAS DI LPT
PENGARAH SYARIKAT MAUT KERETA TERBABAS DI LPT
MARAN – Seorang konsultan maut manakala tiga lagi rakan sekerjanya cedera dalam satu kemalangan ngeri melibatkan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Fortuner yang terbabas sendiri di Kilometer 147.4 Lebuhraya Pantai Timur (LPT) arah timur dekat sini semalam.
Mangsa, Muhammad Hisyamuddin Abdul Samad, 54, yang duduk di bahagian penumpang belakang kiri disahkan meninggal dunia di tempat kejadian selepas tercampak keluar daripada kenderaan akibat impak kuat.
Ketua Polis Daerah Maran, Superintendan Wong Kim Wai berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 6.30 petang ketika cuaca hujan renyai-renyai.
“Siasatan awal mendapati Toyota Fortuner yang dinaiki empat lelaki itu dalam perjalanan dari Subang Jaya menuju ke Kuala Terengganu. Ketika tiba di lokasi kejadian, kenderaan itu dipercayai hilang kawalan lalu terbabas ke kiri jalan sebelum berpusing ke lorong kanan.
“Akibat kejadian, penumpang belakang kiri kanan tercampak keluar dan disahkan meninggal dunia oleh pasukan kesihatan dari Klinik Kesihatan Awah.
Tiga lagi mangsa mengalami kecederaan pelbagai tahap dan dikejarkan ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tiga mangsa yang cedera dikenal pasti sebagai pemandu, Muhammad Abdeen Shukrin Zamri, 29; penumpang hadapan, Mohammad Izzat Ismail, 34; dan penumpang belakang kanan, Zamri Tebi, 56.
Tambah Wong, hasil siasatan awal mendapati kemalangan berpunca daripada kegagalan pemandu mengawal kenderaan ketika melalui laluan basah.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Bedah siasat ke atas mangsa dijadualkan berlangsung hari ini di Hospital Temerloh,” katanya.
Polis turut memohon saksi bebas tampil bagi membantu siasatan.-SAHIH