PENGANGGUR DIDAKWA UGUT CEDERAKAN IBU
PENGANGGUR MINTA DIBICARA KES UGUT CEDERAKAN IBU
AYER KEROH: Seorang penganggur mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret , di sini, hari ini terhadap tuduhan cuba menakutkan kakaknya dengan mengugut mahu mencederakan ibu mereka.
Mohd Afandi Hasnan, 34, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Mohamad Izwan Mohamed Noh sejurus pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah dan meminta kes dibicarakan seperti dilaporkan BH Online.
SUSPEK (TENGAH) DIIRINGI ANGGOTA POLIS SELEPAS SELESAI PERTUDUHAN DIBACAKAN DI MAHKAMAH MAJISTRET AYER KEROH
Mengikut kertas pertuduhan, lelaki berkenaan didakwa melakukan ugutan jenayah terhadap ibunya yang berusia 62 tahun di hadapan sebuah rumah di Jalan Raja Haji 2, kira- kira jam 10 malam pada 1 Ogos lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Raudhah Mazman yang mencadangkan jaminan RM5,000 berserta syarat tambahan, iaitu hanya ibu dibenarkan sebagai penjamin.
Tertuduh yang diwakili peguam, Amritpal Singh, merayu jaminan rendah dengan alasan tiada pekerjaan tetap.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,000 beserta syarat tambahan, iaitu tidak mengganggu mangsa dengan apa-apa medium serta perlu melapor diri di balai polis berhampiran sehingga kes selesai.