PENGANGGUR DIHADAPKAN KE MAHKAMAH MAJISTRET ATAS PERTUDUHAN MEMBUNUH IBU DAN BAPA KANDUNGNYA.
PENGANGGUR DIHADAPKAN KE MAHKAMAH MAJISTRET ATAS PERTUDUHAN MEMBUNUH IBU DAN BAPA KANDUNGNYA.
LIPIS: Kes pembunuhan sepasang suami isteri oleh anak lelaki mangsa di sebuah rumah di Kampung Kemahang, Benta antara jam 11 malam hingga 12 tengah malam pada 4 Oktober lepas telah dihadapkan di mahkamah majistret di sini, hari ini.
Tertuduh Ahmad Hafizuddin Mohammad,31, mengangguk faham terhadap pertuduhan ketika dibacakan di hadapan Majistret Siti Aishah Ahmad, bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Dalam kejadian itu, lelaki itu didakwa membunuh bapanya Mohammad Maasai,68 dan ibunya Zailan Zainudin,64 di sebuah rumah tersebut.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.
Pada prosiding tersebut, Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Muhairi Mohamed Noh memohon agar tertuduh dirujuk ke hospital bagi menjalani pemeriksaan psikiatri untuk menilai tahap kesihatan mentalnya.
Ekoran pada itu, Siti Aishah membenarkan tertuduh dihantar ke Hospital Permai di Johor bagi menjalani pemeriksaan dan menetapkan 11 Nov untuk sebutan semula kes.
Media melaporkan, sebelum kejadian pembunuhan itu berlaku, dikatakan tiga beranak itu berbual berkaitan keagamaan di ruang tamu, selepas itu ibunya masuk ke bilik tidur, tertuduh meneruskan perbualan dengan bapanya.
Tertuduh dikatakan melihat mata hitam bapanya seakan hendak menyerangnya dan mengambil parang dalam bilik dan menetak bapanya dan kemudian menyerang ibunya pada malam kejadian.-SAHIH.