PENGANGGUR DIDAKWA BUNUH BEKAS ABANG IPAR
PENGANGGUR DIDAKWA BUNUH BEKAS ABANG IPAR
Jasin: Seorang penganggur dihadapkan ke Mahkamah Majistret Jasin, di sini, hari ini atas pertuduhan membunuh bekas abang iparnya dalam kejadian pagi Syawal, lalu.
Bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada tertuduh Mohd Amin Mohamad, 32, sejurus pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa mahkamah dihadapan Majistret Suzana Mokhtar.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa membunuh Hanafiah Hanafi, 36, dalam kejadian di Jalan Solok Berangan Enam, Umbai, antara jam 7 hingga 7.30 pagi pada 13 Mei 2021.
Justeru, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Arthana Sarma Rao manakala tertuduh diwakili peguam Mohan Singh.
Sementara itu, tertuduh turut berdepan dengan empat lagi pertuduhan masing-masing dua di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh dan Mahkamah Majistret Ayer Keroh.
Bagi pertuduhan mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan, tertuduh didakwa memukul Mah Azrul Mah Hussin, 39, menggunakan tangan di bahagian kepala dan muka beberapa kali sehingga menyebabkan kecederaan patah rahang kanan dalam kejadian di lokasi sama pada 11.55 malam, 11 Mei 2021.
Manakala bagi pertuduhan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 326A pula dia didakwa mendatangkan kecederaan ke atas Hashimah Hanafi, 32, yang ketika itu masih isterinya dengan menggunakan rotan dalam kejadian di Permatang Pasir Alai kira-kira jam 5 petang pada 15 Disember 2020.
Manakala dalam prosiding di Mahkamah Majistret pula tertuduh didakwa dengan dua pertuduhan mendatangkan kecederaan ke atas dua anak perempuanya berusia 10 dan lapan tahun menggunakan rotan dalam kejadian di Permatang Pasir Alai jam 5 petang, 15 Disember 2020, lapor HM online.
Oleh itu dia didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.
Bagaimanapun, tertuduh tidak mengaku bersalah atas kesemua empat pertuduhan itu.
Mahkamah, kemudian menatapkan 16 Julai depan bagi sebutan semula kes dan serahan dokumen.
Media sebelum ini melaporkan, mangsa bunuh di Kampung Berangan Enam, Umbai di sini pagi 13 Mei, didakwa pernah beberapa kali bertengkar dengan bekas adik iparnya yang juga suspek kes terbabit, sejak tiga hari sebelum kejadian.
Pertengkaran dikatakan mempunyai kaitan dengan perebutan dua anak suspek hasil perkahwinan dengan adik perempuan mangsa sebelum pasangan itu bercerai awal tahun ini.