Pengalaman buat video pengajaran, guru SKPR hasil klip video hari raya
Foto atas : Guru-guru dan warga pentadbir SK Pintas Raya, Batu Pahat, Johor, yang terbabit dalam pembikinan klip video Warna-Warni Aidilfitri 2022.
Pengalaman buat video pengajaran, guru SKPR hasil klip video hari raya
BATU PAHAT – Guru-guru Sekolah Kebangsaan Pintas Raya (SKPR) Batu Pahat, Johor menghasilkan klip video lagu Warna-Warni Aidilfitri bagi menyemarakkan sambutan Aidilfitri tahun 2022 ini.
Untuk menyempurnakan penghasilan klip video berkenaan mereka mewujudkan Kumpulan SPiRA yang dianggotai guru dan warga pentadbir SKPR bagi bergabung menyumbangkan suara menyanyikan lagu yang pernah dipopularkan artis tanah air.
Guru Penolong Kanan Pentadbiran, Anuar Ahmad, berkata idea tercetus menghasilkan klip video berkenaan sebagai suatu usaha menghasilkan kenangan mengembirakan bagi warga SKPR menyambut Syawal selepas seluruh rakyat Malaysia pelbagai peringkat terkesan dengan pandemik Covid-19.
Katanya, apabila cadangan itu dikemukakan dalam mesyuarat perkara berkenaan mendapat sokongan daripada semua guru serta warga pentadbir sekolah khusus Guru Besar SKPR, Yuasmadi Selamat yang memberi suntikan semangat.
Tambahnya, paling menarik selain guru dan warga pentadbir, Yuasmadi turut menzahirkan hasrat menyumbangkan suara dalam klip video itu sebagai tanda sokongan usaha murni ke arah memupuk sepakatan dan kerjasama warga SKPR dalam menjayakan sesuatu projek.
“Usaha ini juga menjadi mudah apabila majoriti guru lelaki dan perempuan serta warga pentadbir yang terbabit dalam klip video berbakat serta berkebolehan menyanyi dengan memiliki nada suara amat baik walaupun tidak selunak artis popular,” katanya.
Kata Anuar, rakaman dan latihan dibuat menggunakan studio SKPR yang mendapat kerjasama baik daripada semua terbabit bagi memastikan klip video itu dapat disiapkan segera.
“Pengalaman menghasilkan klip video seumpama sebelum ini menjadikan suatu pengajaran bagi mencipta klip video yang lebih menarik dengan memperbaiki kelemahan serta kekurangan supaya menjadi daya tarikan untuk ditonton.
“Secara tidak langsung juga manfaat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berikutan pandemik Covid-19 dan guru terpaksa mengajar secara Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) yang membuatkan mereka menjadi pakar dalam bidang teknologi maklumat (IT).
Katanya, kepakaran itu dimanfaatkan bersama beberapa guru dalam pembikinan klip video lagu Warna-Warni Aidilfitri supaya kelihatan menarik dan menggambarkan suasana kegembiraan menyambut Syawal serta turut membabitkan hampir sebahagian murid .
“Latihan dan sesi rakaman tidak mengambil masa yang lama apabila masing-masing sudah menghafalkan lagu berkenaan dan dapat menari dengan lenggok yang bersahaja mengikut irama lagu,” katanya.-SAHIH.