PENGAJARAN TRAGEDI 11 SEPTEMBER
PENGAJARAN TRAGEDI 11 SEPTEMBER
Setiap tahun, apabila tiba 11 September, sudah pasti dunia mengenang kembali tragedi serangan pengganas paling dasyat membabitkan serangan bunuh diri di Menara Berkembar Pusat Dagangan Dunia (WTC), Manhattan, Amerika Syarikat.
Serangan mengorbankan kira-kira 2,800 orang, termasuk orang awam, sudah pasti membuka lembaran baharu dalam definasi pengganas dan keganasan di seluruh dunia.
Sehingga hari ini, kegagalan Biro Siasatan Persekutuan (FBI) dalam mengenalpasti lebih awal suspek berpotensi terbabit dalam insiden itu, menjadi tamparan paling hebat terhadap agensi perisikan yang dikatakan antara terbaik dan paling disegani.
Pada awal pagi kejadian, seramai 19 pengganas dipercayai menaiki empat pesawat komersial American Airlines (Flight 11) dan United Airlines (Flight 175), menghala ke Wilayah Barat, Amerika Syarikat.
Pesawat pertama melanggar bangunan WTC pada jam 8.46 pagi (waktu tempatan), disusuli pelanggaran kedua oleh pesawat Flight 175, kira-kira 20 minit selepas itu.
Berdasarkan rekod, kebanyakan mangsa berusia antara dua tahun hingga 85 tahun, terkorban dalam insiden terburuk dalam sejarah moden negara berkenaan.
Serangan pengganas pada pagi Selasa 11 September tidak berakhir di WTC dan perancangan rapi kumpulan pengganas dikaitkan dengan Osama Ben Laden, seterusnya menjadikan bangunan PENTAGON sebagai sasaran dengan menggunakan pesawat American Airlines Flight 77, yang menyaksikan 184 orang maut.
Sebuah lagi pesawat United Airlines Flight 93 digunakan kumpulan pengganas sama terhempas di kawasan ladang berhampiran Shankville, Pennsylvania, mengorbankan 40 orang, termasuk anak kapal.
Difahamkan, pesawat itu sepatutnya digunakan kumpulan berkenaan untuk melancarkan serangan terhadap Rumah Putih yang menjadi kediaman rasmi Presiden Amerika Syarikat ketika itu, George Bush.
Berdasarkan siasatan pihak FBI dan Agensi Perisikan Pusat (CIA), mereka menganggarkan sejumlah USD500,000 dibelanjakan kumpulan pengganas berkenaan bagi melancarkan serangan berdarah itu.
Amerika Syarikat menanggung kerugian kira-kira USD123 juta dalam tempoh empat (4) minggu, selepas siri serangan pengganas terbabit.
Agensi berita CNN pada bulan Disember 2001 menyiarkan rakaman suara, dipercayai milik Osama Ben Laden, yang mengaku mengarahkan dan bertanggungjawab terhadap siri serangan berkenaan.
Lima daripada suspek dari kumpulan pengganas itu bakal dihadapkan ke mahkamah pada tahun depan, mereka kini ditempatkan di penjara paling ketat di Amerika Syarikat, Guantanamo Bay.
Mereka ialah Khalid Sheikh Mohammad, Walid bin Attash, Ramzi Binalshibh, Ali Abd al Aziz Ali, dan Mustafa al-Hawsawi.
Kesemua suspek didakwa merancang dan terbabit secara langsung dalam memastikan serangan itu berjalan lancar, seperti diarahkan oleh pemerintah tertinggi Al-Qaeda.