Peneroka Wilayah Jengka puji Waqaf Felda kutip sumbangan RM25.63 juta
Foto atas : Razak Daud (3 dari kiri) menerima sijil keahlian Waqaf Felda daripada Tan Sir Idris Jusoh.
Peneroka Wilayah Jengka puji Waqaf Felda kutip sumbangan RM25.63 juta
JERANTUT – Peneroka Wilayah Jengka memuji Langkah Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) kerana berjaya mengutip sumbangan sebanyak RM25.63 juta hasil sumbangan peneroka, ahli-ahlinya dan beberapa agensi di bawahnya menerusi Waqaf Felda.
Pengerusi Biro Sosial Wilayah Jengka, Razak Daud berkata, Waqaf Felda telah ditubuhkan tahun lalu bertujuan untuk mencetuskan anjakan minda bagi membudayakan wakaf dalam kalangan warga Felda khususnya dan rakyat Malaysia amnya.
“Melalui waqaf ini diwujudkan, ianya dapat mewujudkan satu gelombang ekonomi Islam yang baharu dan dapat dimanfaatkan oleh orang awam dan dilestarikan untuk jangka masa panjang.
“Selain itu, prinsip dan budaya Wakaf Korporat yang dilaksanakan,bakal menjadi salah satu institusi wakaf yang berjaya dan menjadi contoh bukan sahaja dalam negara malah kepada masyarakat Islam luar negara,’ katanya.
Seorang peneroka Felda Jengka 12, Zulmi Abd Rahman berkata, cetusan idea daripada Pengerusi Felda, Tan Sri Idris Jusof sebagai satu pandangan yang memberi manfaat jangka panjang untuk peneroka Felda selain dapat beramal berjariah.
“Cetusan idea ini akan dimanfaatkan untuk beberapa aspek seperti kebajikan komuniti Felda, merangsangkan pertumbuhan ekonomi dan seterusnya mendapat keberkatan di dunia dan akhirat,” katanya.
Sebelum itu, Pengerusi Waqaf Felda, Tan Sri Idris Jusoh mengumumkan kutipan sumbangan sebanyak RM25.63 juta pada Mesyuarat Agung kali pertama institusi itu selepas ia ditubuhkan sejak 12 November tahun lepas.
Idris berkata, kutipan sebanyak RM7.03 juta telah diperoleh daripada sumbangan peneroka dan petugas selain daripada beberapa agensi lain.
“Waqaf Felda sebelum ini menyasarkan kutipan dana sebanyak RM100 juta, tapi hari ini kita telah menerima sehingga RM25.63 juta.
“Sumbangan daripada agensi antaranya Felda sebanyak RM10 juta, FGV Holdings Bhd (FGV) RM5 juta dan Koperasi Permodalan Felda Malaysia Bhd (KPF) sebanyak RM1 juta, “katanya pada ucaptama Mesyuarat Agung Waqaf Felda hari ini.-SAHIH.