Peneroka rasa dianiaya ladang sawit tenggelam air ekoran bina empangan
Peneroka rasa dianiaya ladang sawit tenggelam air ekoran bina empangan
RAUB – Seorang peneroka Felda Lembah Klau mengadu terjejas pendapatan dan kehidupan ekoran tanah ladang sawitnya tenggelam air akibat pembinaan sebuah empangan.
Zulkifli Deraman, 62, mendakwa tanah miliknya tidak pernah terlibat dan tidak tersenarai dalam perancangan projek Empangan Klau maka tidak layak untuk diberikan wang pampasan seperti peneroka lain.
Tambah Zulkifli, walaupun tanahnya tidak terlibat dengan projek Empangan Klau tetapi malangnya setelah siap empangan tersebut tanah milik turut juga terjejas.
“Sebahagian tanah ladang milik saya seluas 2 ekar ditenggelami air sejak 2008, sudahlah tanah ditenggelami air, duit pampasan satu sen pun tak dapat.
“Bukan sekali dua saya cuba berusaha mendapatkan keadilan, malah saya menanggung kerugian dan menderita selama 14 tahun kerana tidak tahu dengan siapa lagi mahu diajukan masalah dihadapinya,” katanya Ketika ditemui.
Katanya, selain itu, sejak ladangnya ditenggelami air, dia terpaksa guna jalan jauh untuk mengait buah sawit disebabkan ladangnya terpisah kepada dua bahagian seolah-olah ladang di sebuah pulau.
“Bermakna apabila saya selesai kait buah di sebelah sini saya terpaksa memusing jauh dalam satu kilometer ke bahagian yang terpisah tu,” katanya.
Menurut Zulkifli, beliau pernah dijanjikan pampasan sebanyak RM2,000 sebulan sebagai pampasan untuk kesulitan yang dihadapinya namun sehingga kini ia hanya tinggal janji kosong.
“Ramai sudah datang menjenguk dan bertanya kabar berkaitan masalah yang saya hadapi, Pegawai Wilayah, Tok Empat, Penghulu, Pengurus Felda, Wakil Rakyat, tetapi sehingga sekarang tiada apa-apa jalan penyelesaian.
Akibat ‘kehilangan’ dua ekar tanah ladangnya itu menyebabkan Zulkifli kerugian kira-kira separuh daripada pendapatan bulanan hasil tuaian sawit iaitu lebih daripada RM2,000 sebulan mengikut harga pasaran semasa.
Selama 14 tahun dihimpit kesusahan, Zulkifli terpaksa tinggal di pondok yang dibina di belakang rumahnya kerana tidak mampu untuk menambahbaik rumah sedia ada yang tidak lagi sesuai didiami mereka sekeluarga.
“Saya menyifatkan diri saya dan keluarga teraniaya, tetapi saya tidak pernah berputus asa untuk mencari penyelesaian dan keadilan buat dirinya dan keluarga.
“Diharap ada pihak membantu saya menyelesaikan masalah yang saya hadapi sejak 2008 dengan cara terbaik,” katanya.-SAHIH.