Peneroka Harap Imbuhan Aidilfitri, Pendapatan Merosot Akibat Musim Buah Melawas
Peneroka Harap Imbuhan Aidilfitri, Pendapatan Merosot Akibat Musim Buah Melawas
JENGKA – Warga peneroka FELDA merayu agar kerajaan mempertimbangkan pemberian sumbangan khas sempena Aidilfitri bagi membantu mereka menghadapi musim perayaan, terutama ketika pendapatan merosot akibat musim buah melawas.
Ketua Biro Sosial Gabungan JKKR FELDA Wilayah Jengka, Razak Daud berkata, sudah lama peneroka tidak menerima imbuhan khas seperti mana kakitangan kerajaan dan berharap tahun ini ada berita baik buat mereka.
“Harapan kami, kerajaan dapat beri imbuhan sempena Aidilfitri. Jika ada bantuan tahun ini, kami sangat berterima kasih kepada Perdana Menteri dan FELDA kerana ia dapat meringankan beban kami,” katanya.
Menurutnya, keadaan ekonomi peneroka semakin mencabar apabila harga komoditi tidak menentu, ditambah pula dengan musim buah melawas yang menyebabkan hasil pendapatan ladang berkurangan.
“Sekarang ini pendapatan menurun mendadak. Jika ada sedikit bantuan, sekurang-kurangnya dapat menampung perbelanjaan untuk persiapan raya,” tambahnya.
PM Dijangka Umum Inisiatif Baharu Untuk Warga FELDA
Dalam perkembangan berkaitan, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka mengumumkan satu inisiatif baharu melibatkan dasar kerajaan berkaitan FELDA dalam masa terdekat.
Exco Hal Ehwal FELDA, Koperasi dan Usahawan Negeri Pahang, Datuk Amizar Abu Adam berkata, usaha ini adalah sebahagian daripada perancangan jangka panjang kerajaan untuk memastikan kesejahteraan warga peneroka di seluruh negara.
“Keputusan ini bakal membawa manfaat besar kepada warga FELDA, bukan sahaja di Pahang tetapi juga di seluruh negara,” katanya.
Tambah beliau, butiran mengenai inisiatif itu akan diumumkan sendiri oleh Perdana Menteri dalam tempoh terdekat dan diharap dapat memberikan kelegaan kepada golongan peneroka – SAHIH