PENEROKA FELDA PUAS HATI
HAPUS FAEDAH HUTANG, TUMPU PROGRAM PEMBANGUNAN
JERANTUT: Pengumuman kerajaan menghapuskan faedah hutang kebun peneroka sangat diterima baik oleh kebanyakan warga peneroka FELDA di Pahang.
Dengan peruntukan berjumlah RM400 juta diumumkan Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Aziz ketika pembentangan Belanjawan 2021 petang tadi, sudah tentu membuktikan keprihatinan kerajaan terhadap masalah sumber pendapatan tidak konsisten dihadapi peneroka ketika ini.
RAZAK DAUD
Pengerusi Biro Sosial FELDA Wilayah Jengka, Razak Daud berkata, melalui penghapusan faedah hutang ini juga dapat memberi peluang kepada peneroka untuk mencari jalan menambahkan pendapatan yang terjejas teruk berikutan kempen boikot minyak sawit dilancarkan Kesatuan Eropah dan Amerika Syarikat sebelum ini.
“Bebanan ditanggung peneroka daripada hutang untuk program pembangunan bagi hasil baru sudah dapat diatasi melalui pengumuman ini.. sudah tentu sangat melegakan ramai warga peneroka FELDA.
“Saya kira ini adalah permulaan yang baik dan pada masa akan datang.. kita harap Kerajaan dapat mempertimbangkan supaya dapat menghapuskan pula hutang pembangunan ladang sekurang-kurangnya 50 peratus.. jika ini dilaksanakan, sudah tentu sangat memberikan kelegaan besar kepada peneroka dan mereka berpeluang memperoleh pendapatan bulanan lebih baik serta lumayan,” katanya.
Tengku Zafrul ketika membentangkan Belanjawan 2021 petang tadi mengumumkan, kerajaan memperuntukkan RM400 juta bagi tujuan menghapuskan faedah hutang kebun peneroka dan program pembangunan untuk hasil baru.
Razak juga berharap kerajaan Persekutuan dapat menambahkan peruntukan bagi program pendidikan dan pembangunan sosial serta kemahiran untuk generasi kedua FELDA.
Sementara itu, Ketua Peneroka Gabungan FELDA Wilayah Jengka, Sulaiman Bakar berkata, walaupun pengumuman penghapusan faedah hutang peneroka disambut baik oleh kebanyakan warga peneroka FELDA, namun beliau meminta kerajaan turut memberi perhatian kepada isu hutang pembangunan ladang yang masih membebani kebanyakan peneroka.
SULAIMAN BAKAR
“Mungkin untuk tahun seterusnya, mereka (Kerajaan Persekutuan) boleh melihat pula isu ini.. kami sambut baik pengumuman petang tadi, ia memang menggembirakan dan diharap ada lagi berita gembira untuk warga peneroka selepas ini,” katanya.