Peneroka FELDA harap subsidi diesel khas diteruskan
Peneroka FELDA harap subsidi diesel khas diteruskan
JERANTUT – Sejak penyelarasan semula harga runcit diesel pada Jun lalu, pelbagai usaha dilakukan Kerajaan Perpaduan bagi mengurangkan kesan terhadap peneroka FELDA seluruh negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan penambahan subsidi khusus untuk FELDA berjumlah RM100 juta pada Julai lalu sebagai menangani kesan pelarasan semula harga runcit diesel.
Bagaimanapun, Ketua Peneroka FELDA Jengka 24, Razak Daud memaklumkan, jumlah RM100 juta itu adalah bagi kegunaan peneroka untuk tahun ini.
“Untuk tahun depan, kita belum pasti sama ada subsidi tambahan itu dikekalkan untuk warga peneroka FELDA atau tidak.
“Kalau dikekalkan, saya minta agar Kerajaan Perpaduan dapat menilai semula jumlah diberikan itu… kalau tahun ini jumlahnya RM100 juta, mungkin boleh pertimbangkan untuk tambah kepada RM150 juta atau RM200 juta.
“Perkara ini penting kerana warga peneroka menggunakan jumlah diesel yang banyak untuk operasi di ladang sawit diusahakan mereka,” katanya.
Beliau dalam masa yang sama berharap Kerajaan Perpaduan dapat mengumumkan segera status subsidi diesel tambahan untuk FELDA memandangkan tahun 2024 hanya berbaki kurang tiga minggu lagi.
Katanya, pengumuman dan pemakluman awal berkaitan subsidi tambahan itu sangat ditunggu warga peneroka bagi memudahkan mereka membuat perancangan operasi ladang mereka, tahun depan.
“Memang kita harap subsidi tambahan itu diteruskan tahun depan dan kita masih menunggu berita mengenai perkara itu.
“Saya percaya kerajaan akan mendengar keperluan rakyat dan warga peneroka memandangkan hasil komoditi sawit masih kekal sebagai antara penyumbang utama eksport negara,” ujarnya. – SAHIH