PENDUDUK WILAYAH JENGKA WASPADA
EKORAN BANJIR KILAT KERAP BERLAKU
JERANTUT: Penduduk di kawasan Wilayah Jengka dan penempatan FELDA dikehendaki berwaspada di musim tengkujuh dengan membuat persiapan rapi mengumpul semua dokumen penting dan diletakkan di tempat selamat untuk mudah dibawa sekiranya air naik mendadak terutama di kawasan yang kerap berlaku banjir.
Ekoran hujan lebat yang kerap berlaku kebelakangan ini, termasuk laluan utama ke FELDA Kota Gelanggi Satu dinaiki air sedalam kira-kira satu meter pagi semalam, menyebabkan berpuluh-puluh kenderaan ringan terkandas termasuk yang menghala ke kawasan FELDA Gelanggi Dua, FELDA Kota Gelanggi Empat dan Gugusan FELDA Lepar.
Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Rancangan Wilayah Jengka, Razak Daud berkata penduduk yang tinggal di kawasan yang rendah harus berwaspada serta bersedia untuk berpindah jika keadaan bertambah buruk.
“Pastikan anak-anak masing-masing tidak bermain-main di kawasan air yg deras untuk mengelak perkara yang tidak diingini berlaku.
“Sediakan semua dokumen penting dan mustahak seperti sijil kelahiran, kad pengenalan dan dokumen lain untuk mudah dibawa bersama sekiranya diarahkan berpindah oleh jawatankuasa bencana,”katanya.
GAMBAR HIASAN
Katanya, jangan abaikan prosedur operasi standard (SOP) seperti yang ditetapkan untuk membenteras penularan wabak COVID-19 yang masih berleluasa.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Kemakmuran Kampung (JKKK) FELDA Kota Gelanggi Satu, Abdul Rahman Abdul Ghani berkata, paras air mula naik sejak awal pagi tadi dan sekiranya hujan lebat berterusan kemungkinan jalan tersebut tidak boleh dilalui.
“Setakat ini belum ada mangsa yang dipindahkan ke pusat perpindahan sementara, namun semua penduduk di kawasan rendah diarah berjaga-jaga terutama membawa dokumen penting sekiranya perlu ke pusat pemindahan.