Penduduk Ulu Tembeling kecewa pembinaan jalan raya ke Kampung Pasir Raja, Dungun dihentikan
Foto atas : Jalan sedia ada yang bakal bersambung dengan jalan baharu ke Kampung Pasir Raja, Dungun.
Penduduk Ulu Tembeling kecewa pembinaan jalan raya ke Kampung Pasir Raja, Dungun dihentikan
JERANTUT : Kira-kira 2,000 penduduk Ulu Tembeling kecewa kerana projek pembinaan jalan dari Kampung Mat Daling ke Kampung Raja, Dungun dihentikan serta merta sejak minggu lalu.
Pembinaan projek jalan dua lorong (single carriageway) dengan lebar 6.5 meter dan berturap, sepanjang kira-kira 50 kilometer itu yang sudah mula dengan pembersihan kawasan pada akhir tahun lalu dan dijangka siap pada tahun 2024.
Hasrat penduduk 6 kampung, kampung Kuala Tahan, Kg Kuala Sat, Kg Pagi, Kg Bantai, Kg Gusai dan Kg Mat Daling tidak kesampaian untuk menikmati pembangunan jalan raya yang selesa.
Pembinaan projek pembinaan jalan itu di Hutan Kerajaan Gunung Aais di Kompartment/Subkompartment 81,82,87,88 dan 89 Blok A yang sedang dalam proses pembinaan dihentikan serta merta.
Pengerusi Jawatan Kuasa Pembangunan Keselamatan Kampung (JKKP) Mat Daling, Wan Mohd Sahaimi Wan Ishak, 52, berkata dia terkejut apabila dimaklumkan kerja pembinaan jalan itu dihentikan serta merta.
“Saya diberitahu oleh seorang pekerja yang sering makan di kedai makan di kampung ini memaklumkan kerja pembinaan jalan dihentikan dan hampir semua jentera sudah dipindah keluar dari kawasan projek pembinaan.
“Setakat ini, difahamkan sudah 10 kilometer laluan jalan itu ke sempadan Terengganu telah dibersihkan untuk meneruskan pembinaan jalan dan kami berasa amat kecewa sekiranya projek ini dihentikan,” katanya ketika ditemui.
Katanya, kami mahukan projek ini diteruskan dan sekiranya jalan direalisasikan akan menjana pendapatan kami untuk memudahkan pengeluaran hasil pertanian dan pastinya meningkatkan kehadiran pelancongan ke sini.
Katanya, selain itu, jalan tersebut memudahkan perhubungan penduduk Ulu Tembeling ke Pasir Raja, Dungun yang mempunyai ikatan persaudaran dengan penduduk Kampung Mat Daling, Kampung Bantal dan kampung Gusai sejak lama dulu.
Penduduk Kampung Bukit Mat Daling, Wan Putera Wan Abd Raffar, 59, berkata, pemberhentian projek jalan raya ini, penduduk kampung Mat Daling dinafikan hak untuk menikmati pembangunan seperti zaman 1980an tanpa kemudahan jalan raya yang baik.
“Saya hairan tiba-tiba projek pembinaan jalan diberhentikan sedang jalan raya dari Kampung Tuit ke Kuala Sat hingga penghujung masuk ke kampung kami sudah dibina sejak 10 tahun lalu dan kini kerja penyelenggaran sudah dilakukan oleh Jabatan Kerja Raya.
“Kini pembinaan jalan raya kira-kira 50 kilometer yang disambungkan jalan sedia ada ke sempadan Terengganu di Kampung Pasir Raja, tiba-tiba pihak kerajaan memberhentikan kerja pembinaan jalan ini, “ katanya.
Katanya, difahamkan kerajaan negeri dan kerajaan pusat sewajarnya meneliti semula dan meneruskan pembinaan jalan untuk memberikan manfaat kepada penduduk Ulu Tembeling dan penduduk negeri ini dan penduduk Terengganu.
“Pembinaan jalan ini dapat memendekkan perjalanan dan masa dari Jerantut ke Dungun serta dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas di Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2).
“Selain itu penduduk di sini sudah mula merancang untuk membina kedai makan, rumah inap desa berdekatan jalan baharu untuk menjana ekonomi keluarga dan setempat,” katanya.
Katanya, sekiranya projek jalan ini diteruskan, peluang pekerjaan bakal dicetuskan dan golongan muda tidak perlu keluar merantau untuk mencari pekerjaan, mereka bakal membuka gerai makan, rumah inap desa dan bagi yang mempunyai modal besar boleh membuka stesen minyak.-SAHIH.