Penduduk tangkap tedung selar
Penduduk tangkap tedung selar
JERANTUT – Bagi seorang penduduk Kampung Kuala Sat, pedalaman Ulu Tembeling kira-kira 120 kilometer dengan bandar Jerantut, Zulkifli Jamaludin, 56, berjaya menangkap seekor ular tedung selar di dalam rumahnya hari ini.
Kejadian berlaku pada jam 5.40 petang hari ini, seekor ulang tedung selar sepanjang tiga meter yang sememangnya reptilia berbisa di darat dapat ‘dijinakkan’ dan ditangkap oleh Zulkifli.
Zulkifli berkata, ketika dia menunaikan solat Asar terdengar bunyi suara ayam berketuk dan disambut dengan bunyi yang berdesis berdekatan kediamannya.
“Selesai sahaja solat, saya turun ke belakang rumah yang betul berdekatan bilik dan terkejut melihat ular tedung selar mengembang kepalanya.
“Menyedari kehadiran saya, ular ini terus menjalar ikut sebuah lubang dan memasuki sebuah bilik berdekatan dapur yang kebetulan isteri sedang memasak,” katanya di Kampung Kuala Sat dekat sini hari ini.
Katanya, dia menggunakan kayu yang agak panjang dia terus memasuki ke dalam bilik dan melihat ular itu sudah semakin agresif dengan mengembang kepalanya.
“Saya terus membiarkan ular ini melingkar di lantai, lagi pun pergerakannya agak terbatas kerana permukaan (lantai) agak kesat.
“Selepas hampir lima minit saya berjaya menekan kepala ular ini dan pantas memegang kepalanya dan badannya dengan kuat dan sekiranya terlucut boleh mengundang padah,” katanya.
Menurut Zulkifli, seperti penangkap ular yang terlatih, dia perlu bersabar dan waspada dengan risiko keselamatan diri dan perlahan-lahan menghampiri reptilia itu yang sudah melingkar itu kemungkinan juga sudah kekenyangan.
Dia berkata, kejadian itu disaksikan oleh beberapa orang jirannya sambil menasihatkannya supaya dilepaskan bagi mengelakkan dia dipatuk ular tersebut.
Dia menasihatkan orang ramai supaya jangan menangkap ular berbisa kecuali ada kemahiran, pengalaman termasuk berani berdepan dengan situasi berkenaan.
“Saya peroleh kemahiran serta teknik mendekati reptilia ini daripada seorang rakan ketika bekerja sebagai penoreh getah sebelum ini.
“Saya pun memasukkan ular ini ke dalam guni dan kemudiannya dilepaskan ke dalam hutan berdekatan,” katanya.-SAHIH.