Penduduk resah anjing liar berkeliaran, tuntut tindakan segera
Foto : Keliahatan beberapa ekor berkeliaran di Taman Saujana Utama, di sini.
Penduduk resah anjing liar berkeliaran, tuntut tindakan segera
JERANTUT – Penduduk di beberapa kawasan perumahan sekitar bandar ini semakin resah berikutan peningkatan jumlah anjing liar berkeliaran tanpa kawalan hingga menimbulkan ancaman terhadap keselamatan dan kebersihan.
Antara kawasan terjejas termasuk Taman Inderapura, Taman Saujana Utama, Taman Saujana Perdana serta kawasan industri Jerantut, dengan lebih 50 ekor anjing liar dilihat berkeliaran hampir setiap hari.
Lebih membimbangkan, beberapa ekor anjing turut dilaporkan berada di perkarangan Masjid Tengku Mahkota Abdullah, sekali gus menimbulkan rasa tidak selesa dalam kalangan jemaah.
Penduduk, Rosmani Sulaiman, 61, berkata keadaan itu semakin menakutkan selepas insiden anjing mengejar kanak-kanak di Taman Saujana Utama baru-baru ini.
“Keselamatan penduduk semakin terancam. Kami berharap pihak berkuasa tempatan segera bertindak sebelum berlaku perkara tidak diingini,” katanya.
Sementara itu, Mohd Kamaruddin Napiah, 58, dari Taman Inderapura berkata, anjing liar turut mengganggu kebersihan apabila menyelongkar tong sampah hingga menyebabkan sisa bertaburan.
Jurucakap Majlis Daerah Jerantut (MDJ) memaklumkan beberapa perangkap sudah dipasang di lokasi tumpuan, dan operasi menangkap anjing liar akan diteruskan terutama pada waktu malam.-SAHIH.
