PENDUDUK PASANG BENDERA PUTIH SEBAGAI ISYARAT MINTA BANTUAN SALAH?
PENDUDUK PASANG BENDERA PUTIH SEBAGAI ISYARAT MINTA BANTUAN SALAH?
KUANTAN – Kempen untuk mengibarkan bendera putih sebagai isyarat memohon bantuan keperluan makanan dapat disalurkan kepada insan yang memerlukan menjadi isu kepada pihak tertentu dan mahukan bendera yang dikibarkan itu diturunkan.
Ini berlaku kepada 13 keluarga yang tinggal di Bukit Setongkol di sini apabila tindakan mereka menaikkan bendera putih untuk meminta bantuan tidak disenangi pihak tertentu hingga diarah diturunkan pada hari Rabu.
Perbuatan penduduk yang terjejas itu dikatakan satu kesalahan dan saman boleh dikeluarkan jika bendera yang dipasang gagal diturunkan.
Oleh kerana risau tindakan saman dikenakan, penduduk yang memasang bendera putih itu, tersu menurunkan bendera yang dipasang pada Selasa selepas diarah berbuat demikian oleh seorang individu yang datang bersama tiga anggota polis.
Seorang penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Ana, 43, berkata, dia bersama penduduk di situ sepakat untuk menaikkan bendera putih selepas rata-rata mereka hampir terputus bekalan makanan.
Menurutnya, bendera itu dipasang sebagai tanda penghuni rumah tersebut memerlukan keperluan bekalan makanan dan berharap ada piahk tertentu menghulurkan bantuan.
“Hampir semua di sini sudah hilang punca pendapatan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 ketika ini, kerana di sini ramai bekerja buruh, berniaga kecil-kecilan dan berkerja bergaji harian.
” Sebuah persatuan datang hulurkan sumbangan setelah bendera putih dipasang, namun selepas itu seorang pemimpin setempat datang menegur minta bendera itu diturunkan segera kerana menjadi kesalahan dan tidak dibenarkan polis,” katanya.
Ana berkata, dia dan penduduk di situ keliru kerana dikatakan mengibarkan bendera putih sebagai satu kesalahan sedangkan kempen kibar bendera putih yang tular di laman sosial berlaku di seluruh negara malah ada yang berbuat demikian mendapat bantuan sewajarnya.
Video kejadian itu tular di laman sosial selepas dimuat naik pengguna Facebook hingga mendapat pelbagai reaksi netizen.-SAHIH.