Penduduk Orang Asli Betau akan dapat kemudahan sebuah pusat sehenti setempat
Penduduk Orang Asli Betau akan dapat kemudahan sebuah pusat sehenti setempat
LIPIS – Penduduk Orang Asli bakal mendapat kemudahan tanpa perlu pergi ke pekan Sungai Koyan, bandar Kuala Lipis dan Raub yang jaraknya hampir 100 kilometer apabila kerjaan negeri Pahang merancang membina pusat sehenti setempat yang terbesar di Betau, dekat sini.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pembinaan projek kemudahan asas seperti itu untuk membantu kebajikan Orang Asli dan akan diteruskan ke seluruh negeri Pahang tahun ini menerusi perancangan dan penyelenggaraan di bawah Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa).
“Kerajaan negeri juga akan bekerjasama dengan agensi lain serta syarikat perbadanan berkaitan Orang Asli akan terus merancang serta membantu menaikkan taraf hidup masyarakat ini menerusi peluang keusahawanan, perniagaan dan sebagainya.
“Kerajaan negeri akan menambah kemudahan awam bagi melengkapkan status sebagai kawasan tumpuan kira-kira 15,000 Orang Asli di pusat pertumbuhan baharu Pos Betau, Ulu Jelai di sini tahun ini,” katanya.
Datuk Wan Rosdy menyatakan demikian ketika berucap merasmikan Sambutan Hari Orang Asli Sedunia peringkat negeri di Pos Pantos, Ulu Jelai, dekat sini, semalam.
Di majlis itu, beliau menyampaikan replika cek berjumlah RM1.4 juta, iaitu bantuan bakul makanan kepada Tok Batin yang mewakili setiap daerah serta insiatif kebajikan untuk penduduk warga emas, penyakit kronik, mangsa banjir, membaikpulih rumah dan peralatan perniagaan bernilai RM216,500.
“Kemudahan yang sedia ada seperti klinik kesihatan, sekolah rendah, pejabat kecil agensi kerajaan, dewan serta hentian rawat dan rehat sudah lama disediakan untuk kemudahan masyarakat setempat.
“Projek akan dibangunkan secara berperingkat itu mula direalisasikan apabila Kementerian Pendidikan sudah menyiapkan sebuah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) untuk pelajar Orang Asli mengikuti pembelajaran sehingga kelas Tingkatan Lima tahun ini,” katanya.-SAHIH.