Penduduk Felda Jengka 24 cadang guna dron cegah curi sawit
Foto atas: Gambar hiasan di dalam sebuah ladang sawit.
Penduduk Felda Jengka 24 cadang guna dron cegah curi sawit
JERANTUT – Penduduk di kawasan Felda Jengka 24 bercadang menggunakan dron untuk memantau pergerakan individu yang mencurigakan terutama di sempadan ladang bagi mencegah berlaku kecurian buah sawit yang semakin berleluasa sejak kebelakangan ini.
Cadangan itu ekoran penduduk Felda di Wilayah Jengka mengalami kerugian disebabkan kejadian curi sawit yang berleluasa dilakukan oleh orang yang tidak bertanggung jawab.
Pengerusi Biro Sisial, Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Rancangan (JKKR) Wilayah Jengka, Razak Daud berkata, beliau mencadangkan semua kawasan Felda mengambil Langkah pencegahan yang bersesuaian untuk mengatasi berlaku kecurian buah sawit.
Katanya, di Felda Jengka 24 telah melantik biro ladang untuk melakukan rondaan pada setiap malam serta mengali parit di laluan yang disyaki digunakan oleh individu yang mencuri buah sawit.
“Usaha pasukan rondaan cegah curi sawit di Felda Sungai Retang telah berjaya mendapatkan kembali kira-kira 60 tandan sawit seberat kira-kira dua ton yang benilai hampir RM 3,000.
“Selain itu memasang palang di setiap pintu masuk utama ke ladang selain memohon pihak anggota Ikatan Sukarelawan (Rela) meronda pada setiap malam.
“Diharap kawasan Felda lain turut melakukan kaedah yang sama dan bekerjasama dengan pengurusan Felda dengan menghadkan pergerakan lori keluar masuk ke ladang sehingga jam 6 petang sahaja,” katanya.
Pengerusi Biro Ladang Felda Jengka 24, Azmi Saad (60) berkata, kejadian curi buah sawit semakin menjadi-jadi sejak kebelakangan ini kerana harga komoniti itu semakan mahal.
Katanya, Felda Jengka 24 dapat mencegah kes kecurian buah sawit dengan menubuhkan pasukan rondaan setiap malam yang dilakukan oleh peneroka sendiri.
“Malah, ada peneroka yang bermalam di ladang masing-masing sambil melakukan intipan bagi pencegahan dengan bayaran imbuhan saguhati.
“Modus operandi pencuri sawit menggunakan kereta atau motosikal yang mengakibatkan sukar dicam oleh penduduk setempat dan dilakukan antara jam 12.00 tengah malam sehingga awal pagi.
Katanya, kes curi itu semakin sukar dipantau kerana dipercayai dilakukan oleh orang luar dalam kumpulan kecil dan mempunyai kelengkapan yang cukup melakukan operasi curi di dalam gelap di samping masa yang sukar diramal.
“Oleh itu, penduduk Felda sewajarnya bekerjasama melakukan intipan dan maklumkan kepada pengurusan Felda dan ladang bagi memastikan tiada berlaku jenayah curi buah sawit itu yang semakin berharga,” katanya.-SAHIH.