PENDUDUK CEMAS AIR LAUT PASANG BESAR
PENDUDUK CEMAS AIR LAUT PASANG BESAR: OMBAK HEMPAS BELAKANG RUMAH
BESUT: Kejadian air laut pasang besar sehingga menyebabkan banjir menimbulkan situasi cemas dalam kalangan penduduk Kampung Pantai dan Kampung Pengkalan Atap dekat Kuala Besut di sini, malam tadi.
Seorang daripada mangsa di Kampung Pengkalan Atap, Abdul Razak Mohd Zaid, 31, berkata dalam kejadian kira-kira jam 8.30 malam itu, menyebabkan penghuni lapan rumah berhampiran pantai cemas apabila ombak besar menghempas bahagian belakang rumah masing-masing.
“Kejadian itu mengakibatkan limpahan air laut bukan sahaja memasuki rumah kami tetapi melimpah sehingga ke jalan raya kira-kira 50 meter di hadapan rumah,” katanya kepada BERNAMA.
Abdul Razak berkata kejadian itu menyebabkan penduduk yang tidak sempat melakukan persiapan awal menanggung kerugian apabila barangan rumah seperti perkakas elektrik rosak.
GAMBAR IHSAN ORANG AWAM
“Saya terpaksa meletakkan guni pasir di belakang pintu dapur untuk mengelak pintu tercabut dibadai ombak,” katanya.
Sementara itu seorang lagi penduduk di kampung yang sama, Mohd Napi Sulong, 56, berkata kejadian itu adalah yang terburuk sepanjang tahun ini dan keadaan itu hampir sama dengan apa yang berlaku pada 2014.
“Saya tahu fenomena air pasang besar ini adalah kebiasaan yang berlaku setiap kali musim tengkujuh namun tidak sangka ia seteruk ini,” katanya.
Berikutan kejadian itu seramai 36 mangsa membabitkan sembilan keluarga dari kedua-dua kampung terbabit dipindahkan ke Balai Raya Kampung Pantai di Kuala Besut, tengah malam tadi.
Meskipun fenomena air pasang besar reda sejak awal pagi tadi, namun rata-rata penduduk masih bimbang untuk pulang ke rumah masing-masing hari ini kerana dijangka kejadian yang sama akan berlaku lagi malam ini.
https://sahih.com.my/penduduk-cemas-air-laut-pasang-besar/