Penduduk bimbang harimau bawah rumah
Penduduk bimbang harimau bawah rumah
Foto atas : Anggota Bomba dan Penyelamat Balai Bomba Kuala Lipis, memantau kedudukan haiwan itu di bawah rumah seorang mangsa, semalam.
KUANTAN – Seorang penduduk rumah terkejut menyedari terdapat seekor harimau akar yang berada di bawah rumahnya , di Kampung Pagar Sasak, dekat Lipis, 5.39 petang, hari ini.
Seekor harimau akar itu berkeliaran dan dipercayai tersesat ke kawasan kampung dan berehat di bawah sebuah rumah penduduk di kampung itu petang tadi.
Penduduk rumah tersebut terkejut menyedari terdapat seekor harimau berada di bawah rumahnya dan menghubungi pusat gerakan operasi (PGO) Bomba Pahang bagi memaklumkan mengenai kejadian itu.
Timbalan Pengarah (Operasi) Bomba Pahang, Ismail Abdul Ghani berkata, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima laporan mengenai penemuan harimau itu.
“Sepasukan pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Lipis diarahkan ke lokasi kejadian bagi tujuan pemantauan awal.
“Didapati haiwan itu sedang berehat di bawah rumah penduduk yang terletak di hadapan Sekolah Kebangsaan Pagar Sasak, Lipis,” katanya dalam satu kenyataan media di Kuantan, sebentar tadi.
Ismail berkata, pihaknya sedang menunggu pegawai dari Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) untuk tindakan lanjut.
Katanya, pasukan PERHILITAN bersama ubat pelali sedang dalam perjalanan bagi membantu operasi menangkap haiwan berkenaan.