PENDUDUK 18 TAHUN SEGERA DAFTAR MYSEJAHTERA UNTUK DAPAT VAKSIN
PENDUDUK 18 TAHUN SEGERA DAFTAR MYSEJAHTERA UNTUK DAPAT VAKSIN
JERANTUT: Orang ramai yang berusia 18 tahun ke atas di daerah Jerantut dan masih belum mendapat suntikan vaksin diminta segera mendaftar melalui aplikasi MySejahtera selewat-lewatnya pada 29 Ogos ini sebelum 11.59 malam.
Seramai 17,817 penduduk dewasa berusia 18 tahun ke atas masih belum mendaftar dalam aplikasi tersebut, pendaftaran segera itu membolehkan mereka yang belum divaksin mendapat penetapan tarikh temu janji vaksinasi yang bakal dilakukan pada 6 September hingga 12 September ini.
Pegawai Kesihatan Daerah Jerantut, Dr Amir Faisal Dato’ Mohd Khairi berharap seluruh penduduk Jerantut mendaftar dengan segera kerana daerah Jerantut bakal menerima sejumlah vaksin yang mampu untuk mencapai imuniti kelompok (herd immunity) sehingga 80 peratus penduduk yang telah divaksin.
“Setakat ini, seramai 41,545 penduduk atau 58.3% daripada jumlah penduduk yang berusia 18 tahun ke atas di daerah ini telah menerima vaksin dos pertama, manakala 30,747 atau 43.1% penduduk telah menerima vaksin lengkap 2 dos.
“Daerah Jerantut terdapat 4 Pusat Pemberian Vaksin (PPV), 8 PPV Kesihatan dan 2 pasukan bergerak (mobile) dan melibatkan seramai 300 petugas kesihatan dan 150 petugas sukarela terbabit dalam pengurusan PPV yang ada di daerah ini,” katanya hari ini.
Katanya, tercapainya imuniti kelompok sehingga 80 peratus seperti disasarkan bakal membolehkan pengawalan pandemik dan kehidupan seperti biasa dapat dijalankan.
“Walaubegitu, mereka yang telah menerima vaksin lengkap masih terikat dengan prosedur operasi standard (SOP) yang wajar diamalkan bagi memberi kesan yang lebih positif kepada semua, Insya Allah,”katanya.-SAHIH.