“Pencerobohan Tanah Ibarat Perompakan Terbuka – Sultan Pahang DUKACITA !”
“Pencerobohan Tanah Ibarat Perompakan Terbuka – Sultan Pahang DUKACITA !”
KUANTAN – “Ini bukan soal kebajikan, ini rompakan!” – demikian tegas Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah apabila menyentuh isu pencerobohan tanah secara haram yang semakin berleluasa di negeri ini.
Menerusi titah berapi ketika Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang di Wisma Sri Pahang, baginda menyifatkan masalah itu sebagai ‘musuh utama’ negeri selain dadah dan penjenayah.
Lebih mengejutkan, sebanyak 14,494.908 hektar tanah kerajaan telah diceroboh dan diusahakan secara haram termasuk tanaman sawit, getah, durian serta hasil bumi lain. Malah, hampir 6,000 hektar Hutan Simpan Kekal (HSK) turut menjadi mangsa kerakusan manusia.
“Pencerobohan ini bukan perkara baharu, sudah berakar lebih empat dekad… dan bukan niat beta mahu mengungkit kisah lama, tetapi ia mesti dihentikan. Cukuplah, jangan biar negeri terus dirompak,” titah baginda dengan nada kesal.
Al-Sultan Abdullah menzahirkan penghargaan terhadap tindakan tegas kerajaan negeri dan Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) yang telah mula meroboh, memotong pokok haram serta menutup lombong-lombong liar tanpa kompromi.
Baginda turut melarang sekeras-kerasnya sebarang kelulusan baharu tanah yang telah diceroboh, sambil memberi amaran kepada pihak yang menyokong penceroboh atas alasan kononnya perjuangan rakyat.
“Perjuangan berasaskan kezaliman tidak akan direstui beta. Cukuplah pemimpin dan pentadbir jadi boneka… Jangan gadai undang-undang negeri demi kepentingan peribadi,” titah baginda lagi.
Turut berangkat ke majlis itu, Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah. Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
Difahamkan, pendekatan baharu akan dilaksana bagi memulihkan maruah undang-undang dan menjana semula hasil negeri demi masa depan yang lebih mampan.-SAHIH