PEMUDA UMNO PERAK TEGUH BERSAMA ZAHID
PEMUDA UMNO PERAK TEGUH BERSAMA ZAHID
IPOH: Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Perak menyelar tindakan sesetengah pihak yang mengeluarkan kenyataan berbaur desakan agar Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berundur daripada jawatan Presiden UMNO.
Ketuanya, Mohd Ariff Abdul Majid berkata, ahli dan pemimpin UMNO perlu berfikir impak dan kesan kepada imej parti dan institusi presiden melalui kenyataan-kenyataan peribadi yang dikeluarkan.
Menurutnya, dalam keadaan negara menghadapi waktu sukar kerana pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) serta peningkatan kes COVID-19, fokus seharusnya ditumpukan kepada bebanan dihadapi rakyat, bukannya mengeruhkan lagi keadaan yang langsung tidak menyumbang kepada keperluan rakyat.
GAMBAR HIASAN
“Perbezaan pendapat harus diselesaikan secara berhemah dan bijak melalui konsep musyawarah, hal dalaman parti tidak perlu diulas secara umum kerana apa yang penting adalah bagaimana untuk menguatkan serta mengangkat martabat parti keramat ini,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Astro AWANI.
Mohd Ariff berkata, Pemuda UMNO Negeri Perak yakin dengan kekuatan yang telah dibina oleh Presiden parti dalam menegakkan layar disaat UMNO dipukul ombak.
KETUA PEMUDA UMNO PERAK, MOHD ARIFF ABDUL MAJID
“Di dalam pertempuran, selain strategi kalis masa dan pasukan yang kuat, kepercayaan serta keyakinan kepada kepimpinan yang mengemudi organisasi dalam institusi adalah kunci utama kemenangan,” ujarnya.
Sehubungan itu, kata beliau, pemimpin dan ahli UMNO harus berprinsip dan konsisten dalam perjuangan.
Menurutnya, dalam keadaan UMNO berdepan dengan ancaman dari segenap sudut, seharusnya mereka menguatkan tiang serta tunjang parti.
“Jangan biarkan api yang kecil ini membakar tiang yang telah dibina,” tambahnya.