PEMUDA INDIA BUKAN ALAT KEMPEN – Arvind
PEMUDA INDIA BUKAN ALAT KEMPEN – Arvind
TEMERLOH – “Pemuda India bukan alat kempen semusim,” tegas Arvind Krishnan, Ketua Pemuda MIC Kebangsaan ketika ditemui sempena Konvensyen Perwakilan Pemuda MIC Negeri Pahang Ke-31 di Hotel Apsara, di sini semalam.
Menurut beliau, sudah tiba masanya suara dan peranan pemuda India diiktiraf secara serius dalam kepimpinan politik serta perancangan dasar kerajaan, bukan hanya didekati sewaktu menjelang pilihan raya.
“Kami menolak sikap pihak tertentu yang hanya ‘menghampiri’ pemuda India ketika musim kempen, memberi janji manis dan terus menyepi selepas itu. Pemuda harus dilibatkan dalam jawatankuasa dan forum perbincangan dasar untuk pembangunan jangka panjang,” katanya.
Tambah beliau, Pemuda MIC Kebangsaan dan Pemuda MIC Negeri menyatakan sokongan padu terhadap Presiden MIC, Tan Sri S A Vigneswaran dan Timbalan Presiden, Datuk Seri M Saravanan untuk terus menerajui parti serta menentukan hala tuju MIC menghadapi cabaran semasa dan akan datang.
Turut hadir, C.Uganeswaran. Ketua Pemuda MIC Negeri Pahang.
Dalam sesi perwakilan itu, antara isu utama yang dibangkitkan ialah desakan agar pemuda India diberikan peluang pekerjaan lebih luas dalam sektor awam dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
“Pengangguran dalam kalangan belia India semakin meruncing. Kami mahu kerajaan menyediakan kuota khas dan laluan inklusif untuk mereka,” ujar Arvind .
Mengulas isu cadangan mengambil pelarian sebagai tenaga kerja, beliau menyatakan pendirian tegas bahawa keutamaan mesti diberi kepada rakyat Malaysia terlebih dahulu.
“Kita tidak kira kaum – Melayu, Cina, India – asalkan rakyat Malaysia. Kalau mereka masih ramai yang belum bekerja, keutamaan mesti kepada mereka sebelum mempertimbang pekerja asing atau pelarian,” katanya.
Konvensyen yang dihadiri lebih 200 perwakilan itu turut merumuskan empat resolusi utama untuk dibawa ke peringkat nasional.-SAHIH