PEMUDA BUAT AKSI ‘WHEELIE’ DALAM VIDEO TIKTOK DITAHAN
PEMUDA BUAT AKSI ‘WHEELIE’ DALAM VIDEO TIKTOK DITAHAN
KUALA LUMPUR: Gara-gara membuat rakaman TikTok dengan melakukan beberapa aksi menunggang motosikal secara berbahaya, seorang lelaki berusia 21 tahun ditahan untuk siasatan, semalam.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya, berkata suspek ditahan kira-kira jam 7 malam di sebuah lokasi di ibu negara oleh Unit Risikan JSPT Kuala Lumpur.
Polis mengesan rakaman video yang tular menunjukkan aksi seorang lelaki menunggang motosikal secara berbahaya dimuat naik menerusi akaun Instagram dan TikTok menggunakan nama “muhddanialsyafiq’ dengan tajuk ‘The Real Raya in Kuala Lumpur’.
“Menerusi rakaman video berdurasi 28 saat yang dimuat naik pada Hari Raya pertama (Khamis) lalu, kelihatan seorang lelaki memakai baju Melayu cerah, berseluar gelap, berkopiah dan hanya berselipar menunggang Yamaha RXZ secara berbahaya.
“Dalam video itu. suspek turut dilihat melakukan aksi ‘wheelie’ di beberapa lokasi jalan raya sekitar Kuala Lumpur serta di Lebuhraya AKLEH,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Susulan laporan polis yang diterima, Unit Risikan Operasi JSPT Kuala Lumpur diketuai Inspektor Mohammad Solihi Shafie mengesan dan menahan suspek selain menyita motosikal Yamaha RXZ serta pakaian yang digunakan dalam video itu, lapor BH ONLINE.
“Suspek ditahan mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu memandu secara melulu dan membahayakan. Semakan mendapati suspek pernah ditangkap dua kali diatas kesalahan yang sama dan sudah dihukum mengikut Seksyen 79 (2) Akta Pengangkutan Jalan 1987 pada tahun 2018.
“Pada tahun lalu, suspek turut dikenakan hukuman Perintah Khidmat Masyarakat selama 12 bulan dan lesen memandunya digantung selama dua tahun,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menasihatkan semua pengguna jalan raya supaya mematuhi undang-undang dan peraturan lalulintas dan tidak membahayakan diri sendiri serta pengguna jalan raya yang lain.
Orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan atau maklumat boleh menghubungi Balai Polis Trafik Jalan Tun H S Lee di talian 03-2071 9999 atau Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran.