PEMIMPIN MASYARAKAT BANTU BERI PENERANGAN VAKSINASI COVID-19
PEMIMPIN MASYARAKAT BANTU BERI PENERANGAN VAKSINASI COVID-19
JERANTUT: Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah mengadakan Program Malaysia Prihatin untuk memberi penerangan berkaitan Covid-19 dan Program Imunisasi Covid-19 kepada seluruh masyarakat di sini hari ini.
Katanya, Program tersebut sebagai jelajah berkongsi maklumat dan medium bagi memastikan pemimpin setempat dapat menyebar luaskan maklumat berkaitan Covid-19 dan Program Imunisasi kepada seluruh masyarakat.
“Tujuan utama kita menjelajah untuk mohon bantuan di kalangan pemimpin masyarakat tempatan, pemimpin akar umbi, supaya turut membantu menyebar luaskan lagi maklumat serta mendaftar melalui aplikasi MySejahtera atau mendaftar di pusat kesihatan daerah dan sebagainya.
“Diharapkan agar program imunisasi dapat berjalan lancar dan setiap individu terutama golongan berisiko tinggi menjadi penerima suntikan vaksin dan orang ramai tiada yang tercicir dalam menerima suntikan vaksin, ” katanya di Dewan Banquet, Majlis Daerah Jerantut, hari ini.
lagi berita berkaitan
Turut hadir di program tersebut, Timbalan Ketua Pengarah Komunikasi Jabatan Penerangan, Zainuddin Ismail; Ahli Parlimen Jerantut, Datuk Ahmad Nazlan Idris; Pegawai Daerah Jerantut, Khairun Nissa Aris; ADUN Damak, Zuridan Mohd Daud dan ADUN Tahan, Mohd Zakhwan Ahmad Badarddin.
Katanya, selain program itu, penerangan secara menyeluruh diberikan dan digerakkan oleh pihak kerajaan sejak penularan wabak pandemik Covid-19 dikesan di negara ini termasuk pengisytiharan Proklamasi Darurat yang dilaksana demi mengekang penularan wabak pembunuh itu.
Sementara itu, di Jerantut seramai 755 orang sudah menerima suntikan vaksin yang diadakan selama dua hari dan suntikan kedua bakal diadakan pada 27 dan 28 Mac akan datang.