PEMIMPIN DAN TOK BATIN MASYARAKAT ASLI BANTU PROSES VAKSINASI
PEMIMPIN DAN TOK BATIN MASYARAKAT ASLI BANTU PROSES VAKSINASI
KUALA LUMPUR: Kerajaan wajar memberi kuasa kepada pemimpin masyarakat Orang Asli atau Tok Batin bagi membantu proses vaksinasi komuniti itu yang tiada dokumen pengenalan diri yang sah, kata seorang Ahli Parlimen.
Ahli Parlimen Cameron Highlands, Ramli Mohd Nor, iaitu wakil rakyat pertama dalam kalangan Orang Asli berkata, setakat 15 Sept lalu, hanya 82,555 atau 57 peratus komuniti itu di seluruh negara telah diberi suntikan vaksin di kalangan kira-kira 144,180 Orang Asli di Semenanjung Malaysia.
“Ada segelintir masyarakat Orang Asli di negara ini masih tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah, oleh itu golongan seperti ini tidak dapat divaksinasi,” katanya kepada FMT selepas membahaskan Titah Diraja di Dewan Rakyat.
Ramli berkata, sebilangan besar masyarakat Orang Asli adalah peniaga kecil dan pekerja sektor tidak formal yang akan kehilangan punca pendapatan akibat terhenti operasi susulan perintah sekatan pergerakan yang diumumkan untuk mengekang wabak Covid-19.
Kehilangan pendapatan itu bertambah teruk apabila mereka tidak mampu mendapatkan keperluan asas.
Ramli berkata, kegagalan menangani isu ini berkemungkinan meningkatkan jurang kemiskinan Orang Asli berbanding mereka yang mempunyai pendapatan stabil.
“Apakah langkah yang akan dilakukan kerajaan dalam menyelesaikan masalah tersebut?”
Katanya, Putrajaya juga perlu mengambil perhatian serius berhubung isu kesihatan mental dalam kalangan masyarakat Orang Asli susulan pandemik ini.
Beliau memetik kajian pada 2020 oleh Arctic Council – forum yang menangani isu dihadapi kerajaan dan masyarakat Orang Asli di kawasan Artik – yang mendedahkan bagaimana kesan kehilangan pekerjaan terhadap kesihatan mental.
Beliau menyoal sama ada kerajaan akan melaksanakan kajian serupa.
“Masyarakat Orang Asli di negara ini sangat mudah terdedah kepada ancaman kesihatan mental akibat kurangnya akses kepada pakar kaunseling dan psikiatri untuk menilai serta memberikan rawatan dan terapi sewajarnya.”
Ramli turut menyoal sama ada kaedah pengajaran dan pembelajaran (PdP) dalam talian yang dilaksanakan Kementerian Pendidikan (KPM) mencapai sasarannya, terutama melibatkan pelajar Orang Asli.
Tambahnya, mereka yang berada di kawasan luar bandar atau petempatan Orang Asli berdepan kekangan seperti kekurangan capaian internet.
“Tidak lama lagi, sesi persekolahan secara bersemuka akan dilaksanakan mengikut fasa. Dalam hal ini, KPM mesti proaktif memastikan keciciran pembelajaran tidak terus berlanjutan sehingga berlaku generasi keciciran, khususnya Orang Asli,” katanya.