Pemilik kedai tomyam kena denda RM10,000 buang sampah merata
Pemilik kedai tomyam kena denda RM10,000 buang sampah merata
KUANTAN: Seorang pemilik kedai tomyam menerima padah apabila didenda RM10,000 selepas mengaku bersalah membuang sisa pepejal komersial berhampiran premis miliknya di Jalan Pintasan Kuantan-Pelabuhan, Julai tahun lalu.
Pengurus kedai berkenaan selaku orang kena saman (OKS), Mohd Zuhairi Razali membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohd Kafli Che Ali di Mahkamah Sesyen Kuantan, di sini, hari ini.
Pendakwaan dilakukan pegawai pendakwa dari Perbadanan Sisa Pepejal dan Kebersihan Awam (SWCorp), Muhamad Fadhli Syam Ramli, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Berdasarkan kertas pertuduhan, pemilik restoran itu melalui pekerjanya didakwa melakukan kesalahan terbabit pada jam 12.40 pagi, 21 Julai 2020.
Dakwaan dilakukan mengikut Seksyen 71(1) Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 71(8) akta yang sama.
Sabit kesalahan boleh dikenakan denda minimum RM10,000 dan tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara tidak kurang enam bulan dan tidak lebih lima tahun, atau kedua-duanya.
OKS membayar denda ditetapkan mahkamah.-SAHIH