Pemilik kedai nasi lemak terselamat dirempuh Myvi
Pemilik kedai nasi lemak terselamat dirempuh Myvi
JERANTUT : Seorang pemilik kedai makan nasi lemak yang terletak di Jalan Inderapura 17, Bandar Inderapura dekat sini terselamat daripada dirempuh sebuah kereta Myvi pada jam 9.30 malam tadi.
Ketua Polis Daerah Jerantut, Superitendan Zukri Muhammad berkata, pemilik itu hanya mengalami kesakitan di bahagian bahu dan mendapatkan rawatan di Hospital Jerantut.
Katanya, sebelum itu pemandu kereta Myvi itu turut merempuh sebuah kereta Perodua Viva milik pengusaha kedai makan itu yang sedang diletakkan di hadapan kedai makan tersebut.
“Dalam kejadian itu, pemandu Perodua Myvi wanita berusia 22 tahun mengalami penyakit sawan telah merempuh sebuah Perodua Viva dan terus terdorong masuk ke dalam kedai itu.
“Pemandu wanita itu mengalami kecederaan ringan dan pengsan di tempat kejadian telah dibawa ke Hospital Jerantut untuk menjalani pemeriksaan lanjut dan mendapatkan rawatan,” katanya.
Sementara itu, pemilik kedai itu, Wan Azmi Wan Ibrahim (42) difahamkan sedang berada di dalam kedai untuk berkemas dan bersiap sedia untuk menutup kedainya dan ketika itu tiada pelanggan.
Katanya, semasa kejadian rempuhan itu berlaku dia mendengar dentuman kuat dan terkejut kereta miliknya ditempuh kereta Myvi sebelum terperosok ke dalam kedainya dan dia mengalami kesakitan di bahagian bahu dan mendapatkan rawatan di Hospital Jerantut.- SAHIH.