PEMILIK KEDAI DIDENDA RM5,000 IKLAN PRODUK ROKOK – KES PERTAMA DI PAHANG BAWAH AKTA 852
PEMILIK KEDAI DIDENDA RM5,000 IKLAN PRODUK ROKOK – KES PERTAMA DI PAHANG BAWAH AKTA 852
BENTONG – Seorang pemilik perniagaan lelaki berusia 35 tahun menjadi individu pertama di Pahang yang didakwa di bawah Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) selepas didapati bersalah mengiklankan produk merokok di premisnya, awal Januari lalu.
Kes tersebut dibicarakan di Mahkamah Majistret Bentong pada 7 April 2025 dan dikendalikan oleh Ketua Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran selaku Pegawai Pendakwa Pejabat Kesihatan Daerah Bentong.
Tertuduh atau Orang Kena Saman (OKS) mengaku bersalah atas kesalahan menyebabkan penerbitan iklan mengandungi pelawaan untuk membeli produk merokok melalui satu papan iklan besar yang dipasang di atas bumbung luar kedainya di Genting Permai.
Tindakan itu dikesan semasa Operasi Bersepadu Undang-undang Kesihatan Awam (OSKA) Peringkat Negeri Pahang pada Januari lalu.
Majistret kemudian menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM5,000 atau tiga bulan penjara sekiranya gagal membayar denda tersebut.
Menurut kenyataan Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP), kesalahan tersebut adalah mengikut Seksyen 7(1)(c) Akta 852 yang memperuntukkan denda maksimum RM20,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya sekali bagi pesalah individu yang pertama kali.
“JKNP memandang serius isu pengiklanan produk merokok kerana ia boleh menggalakkan pembelian dalam kalangan masyarakat terutamanya kanak-kanak dan remaja,” menurut kenyataan itu.
Jabatan itu turut menegaskan bahawa hukuman berkenaan harus dijadikan pengajaran dan peringatan kepada semua pemilik serta pengusaha perniagaan agar tidak mengambil mudah isu pengiklanan produk merokok yang telah dilarang sepenuhnya sejak 1 Oktober 2024.-SAHIH