Pemenang Anugerah Kajai, Ibu Yati meninggal dunia
Pemenang Anugerah Kajai, Ibu Yati meninggal dunia
KUALA LUMPUR: Bekas wartawan yang juga pemenang Anugerah Kajai 2014, Wan Noor Hayati Wan Alias meninggal dunia pada petang Isnin dipercayai akibat penyakit radang paru-paru.
Wan Noor Hayati yang turut dikenali sebagai Wanti dan Ibu Yati menghembuskan nafas terakhir pada usia 44 tahun di Hospital Serdang.
Berita pemergian Wanti disahkan oleh abangnya, Wan Mohd Faizal Wan Alias ketika dihubungi Astro AWANI sebentar tadi.
Menurut Wan Mohd Faizal, jenazah Allahyarham dijangka dikebumi di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bintongan di Rembau, Negeri Sembilan sekitar pukul 11 malam ini.
Sementara itu, Persatuan Pengguna Islam Malaysia dalam satu poster turut menzahirkan ucapan takziah atas pemergian Wanti.
Difahamkan sebelum ini Wanti dirawat di Hospital Putrajaya kerana kekurangan oksigen dan disahkan dijangkiti COVID-19 pada April lalu.
Sejak itu, kesihatannya semakin merosot sebelum dia menerima rawatan di dua hospital iaitu Hospital Serdang dan Hospital Kajang akibat kesan COVID-19 berpanjangan.
Allahyarham pernah berkhidmat di beberapa agensi media termasuk Utusan Malaysia, Berita Harian serta Media Variasi.
Allahyarham memenangi Anugerah Kajai iaitu anugerah tertinggi dalam kewartawanan Malaysia yang diberikan oleh Malaysian Press Institute (MPI).
Sumber : Astro Awani