PEMBUNUH BERSIRI MATI AKIBAT COVID-19
ROME: Pembunuh bersiri terkenal di Itali, Donato Bilancia, meninggal dunia akibat COVID-19 ketika menjalani hukuman penjara, lapor agensi berita, semalam.
Bilancia yang mengaku membunuh 17 mangsa, sedang menjalani 13 hukuman penjara seumur hidup atas kesalahan melakukan amukan berdarah antara Oktober 1997 hingga April 1998 dengan kebanyakannya terjadi di Liguria, utara Itali.
Mangsanya termasuklah empat pelacur, pengawal malam, seorang atendan stesen minyak dan sejumlah wanita yang dilihat dibunuh secara rawak di dalam tandas kereta api.
Bilancia tidak dapat menjelaskan kepada pakar psikiatri mengenai punca tindakan jenayah berkenaan, namun memberitahu bahawa dirinya mengalami sakit kepala yang teruk sebelum melakukan setiap pembunuhan itu.
Dia didapati bersalah atas 13 pertuduhan membunuh oleh sebuah mahkamah Genoa pada April 2000.
Pada awalnya, Bilancia ditempatkan di sebuah penjara di bandar itu sebelum dipindahkan ke Padua di mana dia meninggal dunia, lapor AFP.