PEMBONCENG MAUT, MOTOSIKAL TERBABAS LANGGAR TIANG ELEKTRIK
PEMBONCENG MAUT, MOTOSIKAL TERBABAS LANGGAR TIANG ELEKTRIK
BERA – Seorang lelaki maut manakala rakannya cedera parah selepas motosikal dinaiki mereka terbabas dan melanggar tiang elektrik di Kilometer 63, Jalan Temerloh–Pos Iskandar, dekat sini, pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 9.50 pagi itu, mangsa, Nadan a/l Pitok, 50, disahkan meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah di kepala dan tangan, manakala penunggang motosikal, Mizuan a/l Mat, 35, cedera dan kini dirawat di Hospital Bera.
Ketua Polis Daerah Bera, Superintendan Zulkiflee Nazir, berkata siasatan awal mendapati motosikal jenis Yamaha Y15ZR yang ditunggang Mizuan dari arah Bukit Gemuruh menghala ke Tembangau, hilang kawalan sebelum terbabas ke bahu jalan kiri.
“Motosikal berkenaan kemudian merempuh tiang elektrik dan terjatuh ke dalam gaung di tepi jalan.
Pembonceng disahkan maut di tempat kejadian, manakala penunggang dibawa ke Klinik Kesihatan Tembangau sebelum dirujuk ke Hospital Bera untuk rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, keadaan jalan di lokasi kejadian lurus dan berturap, dengan cuaca baik ketika kemalangan berlaku.
“Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Bera untuk proses bedah siasat pada jam 1.30 tengah hari bagi mengenal pasti punca kematian,” katanya.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menyebabkan kematian akibat memandu secara cuai.-SAHIH
—
