PEMBINAAN TAK IKUT PIAWAIAN PUNCA BANJIR KILAT
PEMBINAAN TAK IKUT PIAWAIAN PUNCA BANJIR KILAT
TEMERLOH: Pembinaan projek perumahan tidak mengikut piawaian ditetapkan, antara punca Taman Mentakab Indah, dekat sini, dilanda banjir kilat.
Kejadian berlaku kira-kira 3 jam itu, menimbulkan kerisauan kepada penghuni setempat apabila paras banjir kali ini lebih tinggi berbanding tahun 2007.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Pahang, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsuddin, berkata tinjauan di kawasan itu mendapati terdapat beberapa perkara perlu di ambil perhatian ekoran peningkatan paras air lebih tinggi berbanding sebelum ini.
GAMBAR IHSAN PENDUDUK
Katanya, ekoran banjir besar 13 tahun lalu, pihak kerajaan negeri telah membina ban menghalang banjir melimpah ke kawasan penduduk, selain membesarkan longkang untuk melancarkan aliran air.
Namun, menurut beliau, terdapat pemaju perumahan melandaikan ban yang dibina, sekaligus menyebabkan paras air meningkat setiap kali hujan lebat di kawasan berkenaan.
“Saya minta supaya laporan dibuat dan keduanya saya minta JPS dan Pejabat Daerah untuk mereka melakukan kerja-kerja segera iaitu pertamanya untuk mendapatkan bajet agar kaedah baru iaitu pembesaran longkang, ketinggian ban atau penahan air ini kemudian dibuat di lokasi lain,” katanya.
GAMBAR IHSAN PENDUDUK
Beliau berkata demikian ketika melakukan tinjauan di Taman Mentakab Indah, Temerloh.
Dalam pada itu, menurut beliau, perkara tersebut akan dibawa ke Mesyuarat Kerajaan Negeri bagi mencari penyelesaian yang komprehensif untuk menangani masalah berkenaan.
Sementara itu, seorang penduduk, Abdul Aziz Mahmood berkata, kejadian banjir di kawasan tersebut dianggap biasa berlaku namun paras yang yang luar biasa menyebabkan mereka kembali resah.
GAMBAR IHSAN PENDUDUK
Dalam kejadian banjir kilat awal minggu ini, kira-kira 300 penduduk di kawasan berkenaan mengalami kerugian ratusan ribu ringgit berikutan paras air naik terlalu cepat hingga mereka gagal menyelamatkan barangan berharga.