PEMBERIAN TANAH KEPADA RAKYAT HASIL PENTADBIRAN NEGERI PAHANG CEMERLANG
PEMBERIAN TANAH KEPADA RAKYAT HASIL PENTADBIRAN NEGERI PAHANG YANG CEMERLANG
JERANTUT: Seramai 650 orang menerima pelbagai bantuan sebidang tanah daripada kerajaan negeri Pahang untuk kemajuan dan keselesaan rakyat di negeri ini, hari ini.
Seramai 383 orang menerima tanah melalui Skim Tanah Rakyat (STR) untuk dusun, 206 menerima tanah untuk pertanian, 54 penerima tanah untuk tapak rumah dan 7 orang menerima rumah di bawah program Rumah Rakyat Pahang (RRP).
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kestabilan politik dan kewangan mencerminkan pentadbiran negeri ini ditadbir dengan telus dan lancar.
“Contohnya, hari ini, ramai menerima tanah STR, tanah dusun, tanah untuk membangunkan pertanian, tapak rumah dan rumah RRP.
“Kalau kerajaan tiada duit, macam mana nak bagi kemudahan dan keselesaan kepada rakyat, dan tidak mudah untuk menjalankan program pemberian tanah kalau tanpa wang,” katanya.
Beliau berkata demikian di Majlis Penyampaian Skim Tanah Rakyat (STR) yang diadakan di Dewan Galeri Mat Kilau, Pulau Tawar, hari ini.
Selain itu, kerajaan turut memberi sebuah rumah RRP untuk anak yatim piatu yang kehilangan ayah dan ibunya yang meninggal akibat Covid-19 baru-baru ini.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal FELDA, Koperasi, Usahawan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Pahang, Datuk Nazri Ngah berkata, kerajaan juga akan mengkaji pemberian tapak rumah atau RRP kepada generasi baharu Felda di kawasan kosong di Felda, turut mengkaji memberi tapak rumah kepada generasi kampung tradisional.
Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak , Ahli Dewan Undangan Negeri Tahan, Mohd Zakhwan Ahmad Badarddin dan Pegawai Daerah Jerantut, Khairun Nissa Aris.
“Malah kerajaan bercadang untuk memberi kepada mereka yang berumur 18 tahun ke atas dan belum berkahwin.
“Pejabat daerah akan mengkaji kawasan yang sesuai untuk projek perumahan bagi generasi baharu dan juga menilai peserta yang benar-benar layak,”katanya.-SAHIH.