Pembayaran Tol guna Debit Kad mudahkan pengguna lebuhraya
Pembayaran Tol guna Debit Kad mudahkan pengguna lebuhraya
KUALA LUMPUR: Mod pilihan pembayaran kepada pengguna akan dipelbagaikan dan tidak terhad kepada satu skim penyedia pembayaran yang dimonopoli oleh Touch N Go sahaja seperti sekarang.
Timbalan Menteri Kerja Raya, YB Dato’ Sri Abdul Rahman Mohamad bercakap ketika menjawab persoalan yang dikemukakan dalam sesi Soal Jawab Lisan di Parlimen hari ini.
“Ini secara tidak langsung akan membantu pengguna mengatasi isu kekurangan baki sewaktu melalui plaza tol.”
“Penggunaan akan diperluas kepada debit kad dan kredit kad dan seterusnya melancarkan pergerakan pengguna lebuh raya.”
“Kementerian melalui Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) juga telah meminta agar syarikat pengendali lebuh raya untuk membuat pelarasan lebih kerap di lorong-lorong RFID agar kecekapan laluan dapat dipertingkatkan.”
Beliau juga turut menyarankan supaya pengguna lebuh raya lebih peka dan bersedia untuk menyemak baki e-Wallet sebelum memulakan perjalanan bagi memastikan tiada gangguan semasa melakukan transaksi bayaran tol.
“Kita juga memerlukan kerjasama daripada semua kerana mengikut rekod salah satu punca kesesakan di plaza tol adalah kerana ada pengguna yang tidak mempunyai baki mencukupi semasa melalui plaza tol”
“Pihak KKR sentiasa menambahbaik semua sistem dari masa ke semasa, sebab itu kita dapat melihat banyak peningkatan dalam sistem kutipan tol”
“Selaras dengan hasrat Kerajaan bagi melaksanakan sistem kutipan tol secara Multi Lane Fast Flow (MLFF) pada tahun 2025, pihak Kerajaan sedang memperhalusi kaedah pelaksanaan sistem MLFF ini bagi memberikan keselesaan yang terbaik kepada pengguna lebuh raya,” katanya. – SAHIH