Pembantu pegawai kesihatan maut, empat kenderaan terbabit kemalangan
Pembantu pegawai kesihatan maut, empat kenderaan terbabit kemalangan
TEMERLOH: Seorang pembantu pegawai kesihatan maut selepas terbabit dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan di KM 26 Jalan Jerantut-Temerloh, pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 7.41 pagi itu, mangsa yang memandu Proton Saga disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.
Ketua Polis Daerah Temerloh, ACP Mohd Nasyim Bahrin berkata, kemalangan membabitkan sebuah Perodua Alza, sebuah lori treler, sebuah Proton Saga dan sebuah Toyota Hilux.
“Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila Perodua Alza dari arah Temerloh menuju ke Jerantut berhenti di tengah jalan untuk membelok masuk ke simpang sebelah kanan.
“Lori treler yang datang dari belakang dipercayai gagal mengawal kenderaan lalu melanggar bahagian belakang Alza, menyebabkan kenderaan itu masuk ke laluan bertentangan dan bertembung dengan Proton Saga yang datang dari arah Jerantut ke Temerloh,” katanya.
Menurutnya, sebuah Toyota Hilux yang datang dari belakang Proton Saga tidak sempat mengelak lalu melanggar kenderaan itu.
Akibat kemalangan berkenaan, pemandu Proton Saga, Sathiyan A/L Raja Gopal, 43, yang juga pembantu pegawai kesihatan di Pejabat Kesihatan Temerloh, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Sementara itu, pemandu Perodua Alza, Agoes Zaid Haritha Bin Mohamad, 42, mengalami kecederaan dan kini menerima rawatan di Zon Merah Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAS), Temerloh.
Pemandu lori treler dan Toyota Hilux pula dilaporkan tidak mengalami kecederaan.
Mohd Nasyim berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu atau berbahaya sehingga menyebabkan kematian.
“Ujian saringan air kencing terhadap pemandu lori treler didapati negatif dan siasatan lanjut masih diteruskan bagi mengenal pasti punca sebenar kemalangan,” katanya.-SAHIH
