Pembantu kedai cedera dalam kebakaran kedai dan samun
Foto atas : Pembantu kedai yang dicederakan oleh suspek yang masuk ke kedai itu, hari ini.
RAUB – Seorang pembantu kedai terselamat dalam kebakaran dan samun sebuah kedai runcit di Felda Tersang Satu, dekat sini, dalam kejadian antara jam 1.00 pagi hingga 2.00 pagi, hari ini.
Ketua Polis Daerah, Superintenden Kama Azural Mohamed berkata, berasaskan siasatan menerusi percakapan pembantu kedai yang cedera bernama Nur Hasanah dalam lingkungan usia 40-an, seorang lelaki bertopeng telah memanjat bumbung dan masuk kedai itu lalu menyerang mangsa dengan sebatang besi sehingga menyebabkan kecederaan di kepala.
Katanya, pihak polis Raub sedang memburu seorang suspek yang terbabit dengan kejadian rompakan sehingga mencederakan seorang pembantu kedai dan perbuatan khianatnya membakar sebuah kedai runcit itu.
“Polis dari Balai Polis Cheroh telah menerima panggilan orang ramai mengenai kebakaran kedai tersebut kira-kira jam 4.00 pagi hari ini turut mengesahkan seorang pembantu kedai, iaitu warganegara Indonesia meminta tolong kerana mengalami kecederaan.
“Dalam kejadian itu , suspek turut melarikan wang tunai di laci kaunter kedai berkenaan berjumlah RM1,700 serta dua utas gelas emas milik mangsa,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Katanya, mangsa turut diikat dengan ‘musking tape’ oleh suspek dan terus membakar kedai runcit tersebut. Bagaimanapun, Nur Hasanah berjaya melarikan diri dan seterusnya meminta bantuan orang ramai.
Katanya, polis sehingga ini sedang menjalankan siasatan dan mengesan suspek sekitar Felda Tersang dan daerah ini. Kes ini akan disiasat di bawah Seksyen 394/435 Akta Kanun Keseksaan kerana kesalahan merompak hingga mendatangkan cedera dan khianat dengan api.-SAHIH.