PEMANGKU RAJA PAHANG TINJAU MANGSA BANJIR
PEMANGKU RAJA PAHANG TINJAU MANGSA BANJIR: 24 PPS BEROPERASI DI DAERAH RAUB
RAUB: Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan bercemar duli berangkat ke 24 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di sekitar daerah ini bagi menziarahi penduduk terjejas banjir.
Tengku Hassanal meluangkan masa kira-kira lima jam bermula jam 11.30 pagi bagi melihat dan mendengar sendiri rintihan penduduk akibat bencana alam itu, dipetik dari akaun media sosial HOUSE OF PAHANG.
Selain bertanya khabar, Baginda turut mengurniakan sumbangan peribadi dan sumbangan daripada Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP).
Baginda turut meninjau sendiri kawasan yang dinaiki air dan diberikan taklimat ringkas daripada pihak berkuasa.
GAMBAR IHSAN HOUSE OF PAHANG
Turut mengiringi Tengku Hassanal ialah Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail; Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak; Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar Dan Hal Ehwal Orang Asli Pahang, Datuk Abd Aziz Mat Kiram dan Ahli Dewan Undangan Negeri Dong, Datuk Seri Shahiruddin Ab Moin.
Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif MUIP, Datuk Ahmad Hairi Hussain dan Pegawai Daerah Raub, Datuk Mohammad Shahid Ismail.
Antara PPS dilawati Tengku Hassanal ialah Surau Al- Hidayah Kampung Melayu Sempalit; Dewan Kegiatan Gali Tengah; Dewan Serbaguna Gali Hilir; Balai Raya Kampung Sungai Pasu; Balai Raya Kampung Durian Sebatang; Dewan Dato’ Seriwa Dong; SK. Muhammad Jabar; Masjid Kuala Temau; Dewan Kampung Pia dan Balai Raya Kampung Jeruas.
Untuk rekod, sehingga jam 7.30 malam ini seramai 14,814 mangsa banjir daripada 3,809 keluarga di negeri Pahang ditempatkan di 208 PPS.