Pemandu treler terselamat dalam kemalangan awal pagi di Lipis
Pemandu treler terselamat dalam kemalangan awal pagi di Lipis
LIPIS – Seorang pemandu lori kontena terselamat dalam kemalangan jalan raya di Kilometer 8, Jalan Lipis ke Merapoh berdekatan Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Tengku Ampuan Afzan Kuala Lipis di sini, awal pagi, hari ini.
Ketua Polis Daerah, Superintenden Azli Mohd Noor berkata, kemalangan jalan raya membabitkan lori kontena dengan muatan susu getah berlaku pada jam 1.50 pagi.
“Lori treler itu terbabas dan terbalik ke dalam longkang sebelah kiri jalan ke arah Kuala Lipis dipercayai berpunca kerosakan di bahagian belakang kenderaan itu.
“Lori tersebut bernombor pendaftaran KEK 1216 dalam perjalanan dari Pengkalan Chepa, Kelantan menuju ke Kelang ,Selangor,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Katanya, pemandu lori kontena berkenaan telah tersepit di tempat duduk dan anggota bomba dan penyelamat dari Balai Bomba Kuala Lipis dengan bantuan kren mengangkat lori kontena yang terbalik sebelum berjaya mengeluarkan mangsa pada jam 4.30 pagi.
“Ketika kejadian, keadaan jalan raya berselekoh dan bahu jalan berturap manakala cuaca baik dan tidak hujan.
“Mangsa dihantar ke Hospital Lipis untuk rawatan lanjut. Mangsa stabil dan cuma mengalami kecederaan ringan di bahu kiri,” katanya.-SAHIH.