Pemandu treler maut terbabas
Pemandu treler maut terbabas
TANJUNG MALIM – Seorang lelaki maut selepas treler muatan cip elektronik yang dipandunya hilang kawalan sebelum terbabas di Kilometer 390, Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara di sini, semalam.
Kejadian itu sekitar pukul 2.50 petang itu mengorbankan mangsa, L. Pakiyasamy, 47, yang maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah.
Ketua Polis Daerah Muallim, Superintendan Mohd. Hasni Mohd. Nasir berkata, kemalangan berlaku ketika treler dipandu mangsa dalam perjalanan dari arah Kuala Lumpur ke Ipoh.
Katanya, apabila sampai di lokasi kejadian, kenderaan berat berkenaan hilang kawalan ketika cuba mengelak sebuah kereta yang terbabas sendiri di bahu kiri jalan.
“Treler dipandu mangsa terbabas di sebelah kiri jalan dan masuk ke tebing. Akibat kemalangan itu, mangsa cedera parah dan meninggal dunia di lokasi kejadian.
“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Slim River untuk bedah siasat. Siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Sumber – KOSMO! ONLINE